KUALA LUMPUR 27 Sept - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya SME Corp. memperuntukkan dana tambahan RM6 juta khusus untuk Perusahaan Kecil milikan usahawan India.
Peruntukan tambahan ini akan disalurkan menerusi program sedia ada yang dijenamakan sebagai Business Accelerator Programme for Indian Small Business atau I-BAP.
I-BAP menawarkan bantuan kewangan dalam bentuk geran padanan sehingga RM100,000 bagi tujuan meningkatkan kapasiti dan keupayaan serta prestasi perniagaan dan produktiviti PMKS.
Ini merangkumi perbelanjaan untuk perolehan mesin dan peralatan bagi meningkatkan kualiti produk serta kecekapan pengeluaran, pensijilan produk, adaptasi ICT 2 dan eDagang, penerapan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan pelaksanaan kempen pemasaran serta promosi.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato' Sri Ramanan Ramakrishnan semasa sidang media selepas lawatan ke salah satu syarikat penerima bantuan hari ini berkata, “Peruntukan khusus untuk Perusahaan Kecil milikan usahawan India melalui I-BAP ini adalah bertepatan mengambil kira kepentingan mereka dalam turut sama merealisasikan matlamat kerangka Ekonomi MADANI bagi mencapai pertumbuhan yang lebih saksama, inklusif dan mampan.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memberi sokongan dalam mengupayakan PMKS termasuklah Perusahaan Kecil milikan usahawan India agar dapat ditingkatkan lagi ke tahap yang lebih tinggi.
Ini adalah selaras dengan komitmen dan usaha Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa mengutamakan kejayaan dan kemajuan komuniti India selaras gagasan Malaysia MADANI.
“Saya gembira melihat syarikat seperti Renewcell (M) Sdn. Bhd. yang saya lawati hari ini dapat memanfaatkan bantuan yang diberi dan berjaya mengeluarkan produk baharu mereka.
"Namun demikian, ingin saya ingatkan bahawa Perusahaan Kecil milikan usahawan India perlu cepat dalam merebut peluang yang ditawarkan menerusi program I-BAP ini kerana dana adalah terhad dan hanya permohonan yang memenuhi semua syarat kelayakan ditetapkan sahaja boleh dipertimbangkan.
"Bagi perbelanjaan yang tidak dapat dipertimbangkan di bawah I-BAP, PMKS juga mempunyai alternatif pembiayaan lain di bawah SME Corp. Malaysia”.
Perusahaan Kecil milikan usahawan India yang ingin memohon bantuan di bawah I-BAP ini, syarikat perlu memiliki sekurang-kurangnya 60% ekuiti milikan India tempatan dengan jualan tahunan melebihi RM300,000 setahun dan telah beroperasi sekurang-kurangnya 12 bulan serta mempunyai Sijil Akuan Status PMKS.
Permohonan telah dipermudah dengan hanya perlu mengemukakan 5 dokumen sokongan asas iaitu:-
i. sijil pendaftaran perniagaan;
ii. lesen premis perniagaan;
iii. penyata kewangan;
iv. penyata bank; dan
v. sebutharga berkaitan.
Tempoh pemprosesan hanya mengambil masa 14 hari bekerja, tertakluk kepada dokumen lengkap.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Dato’ Nainy berkata, bagi tahun 2024, sehingga kini, sejumlah RM24.12 juta geran telah diluluskan kepada 197 syarikat di bawah Business Accelerator Programme (BAP).
Daripada jumlah tersebut, RM1.07 juta telah diluluskan kepada 12 syarikat milikan India, kata beliau.
Program BAP sememangnya berupaya memberikan impak yang signifikan kepada PMKS. Ini jelas dibuktikan melalui hasil Tinjauan PMKS 2024 di bawah RMKe-12 oleh SME Corp.
Malaysia yang mendapati sehingga 73.1 peratus responden dalam kalangan PMKS penerima bantuan BAP berjaya meningkatkan kecekapan & produktiviti, 65.4 peratus meningkatkan hasil jualan & keuntungan manakala 30.8 peratus berupaya menambah bilangan pekerja.
Di samping itu, syarikat juga berjaya mencatatkan peningkatan jualan tahunan sehingga 44.7 peratus dan 30.3 peratus dalam produktiviti”.
Hadir sama adalah Encik Rizal bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia; Mejar (B) Aziz Mohd Yassin, Pengerusi Renewcell (M) Sdn. Bhd. dan Anandan Eahambram, Pengarah Urusan Renewcell (M) Sdn. Bhd.
Maklumat lanjut mengenai I-BAP, sila layari laman web www.smecorp.gov.my dan permohonan secara dalam talian akan dibuka mulai 7 Oktober 2024. - DagangNews.com