KUALA LUMPUR 28 Okt - Pengeluar kenderaan keempat terbesar dunia, Stellantis mengumumkan penubuhan Hab Alat Ganti Serantau di Malaysia.
Hab itu merupakan antara komponen penting dalam strategi kumpulan bagi menggiatkan usaha mengukuhkan kehadirannya dalam jangka masa panjang di rantau India dan Asia Pasifik, termasuklah Malaysia.
Ketua Pegawai Operasi Stellantis ASEAN, Daniel Gonzalez berkata, rantau India dan Asia Pasifik merupakan enjin pertumbuhan ketiga kumpulan dengan Hab Alat Ganti Serantau itu bakal menjadi satu aset penting dalam strategi rantaian bekalan serantau.
“Pelaburan ini membuktikan komitmen jangka panjang Stellantis dalam mengukuhkan pertumbuhan dan kehadiran kami bukan sahaja di rantau ini, malah menyumbang kepada memperkasakan kedudukan Malaysia sebagai satu hub automotif serantau.
"Kami akan terus berada di sini dan komited untuk meningkatkan pengalaman pelanggan, di samping memberi perkhidmatan dan operasi yang cekap melalui hab baharu ini. Ia akan memberi khidmat kepada pasaran Malaysia dan rantau ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini
Dijadual beroperasi pada suku pertama 2025, hab baharu itu direka bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dari 20 buah negara di rantau ini, termasuk pasaran-pasaran penting seperti Malaysia.
Hab itu juga merupakan sebahagian daripada strategi Stellantis untuk meningkatkan perkhidmatan selepas jualannya dengan mengurangkan tempoh tidak dapat beroperasi.
Selain memastikan akses yang cekap serta kebolehdapatan alat ganti automotif serta komponen kepada pengedar dan pelanggan.
Hab itu akan menempatkan alat ganti automotif serta komponen untuk semua jenama Stellantis seperti Peugeot, Citroon, Alfa Romeo, Jeep, RAM, Leapmotor dan banyak lagi.
Ketua Alat Ganti dan Servis Stellantis India & Asia Pasifik, Olivier Torchet berkata, pembukaan gudang alat ganti serantau kami di Malaysia mencipta satu pencapaian yang signifikan dalam komitmen kumpulan kepada pelanggan, ketika pihaknya ingin terus memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan di rantau India dan Asia Pasifik.
"Terletak di Zon Perdagangan Bebas yang strategik di Malaysia, gudang alat ganti serantau ini akan membolehkan kami untuk menambah baik aspek kebolehdapatan alat ganti, mengurangkan tempoh menunggu dan meningkatkan servis secara keseluruhannya," katanya. - DagangNews.com