KUALA LUMPUR 3 Jan - Bekalan dan harga beras putih import (BPI) di Malaysia kekal stabil, dengan stok mencukupi untuk memenuhi keperluan negara walaupun terdapat perbincangan baru-baru ini mengenai potensi import dari Pakistan, kata Padiberas Nasional Bhd (Bernas).
Bernas kata, harga BPI di Malaysia kekal berdaya saing dan sejajar dengan trend pasaran global.
“Pada masa ini, Malaysia tidak mengalami krisis bekalan beras.
“Stok BPI kekal mencukupi untuk menampung keperluan negara kerana Bernas terus memastikan ketersediaan dan bekalan beras putih import yang tidak terganggu,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebagai tindak balas kepada laporan media baru-baru ini mengenai cadangan mengimport beras dari Pakistan, Bernas menjelaskan Pakistan, bersama Thailand, Vietnam dan India telah lama menjadi pembekal utama BPI.
Mengulas tentang cadangan beras import itu, Bernas mengesahkan tiada perbincangan diadakan dengan Pengerusi Pasukan Petugas (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Kebangsaan (Naccol) Kebangsaan, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.
Bernas turut menggesa kenyataan media yang berkaitan import beras perlu disokong secara fakta dan berdasarkan perbincangan dengan pihak berkaitan termasuk Bernas bagi mengelak kekeliruan dan mengekalkan kestabilan pasaran.
Pada 1 Januari 2025, Syed Abu Hussin Hafiz, dalam satu kenyataan berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengimport beras putih dari Pakistan bagi menangani isu bekalan dan harga beras.
Katanya, cadangan yang dikemukakan kepada Bernas telah mendapat kelulusan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi masih keputusannya masih belum dimuktamadkan. - DagangNews.com