Sunway Construction diramal catat keputusan lebih baik pada 4QFY24 dipacu kemajuan projek pusat data | DagangNews Skip to main content

Sunway Construction diramal catat keputusan lebih baik pada 4QFY24 dipacu kemajuan projek pusat data

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Nov - Sunway Construction Group Bhd diramal mencatatkan keputusan lebih baik pada 4QFY24 dipacu kemajuan pekerjaan melibatkan projek pembangunan pusat data (DC).

 

RHB Investment berkata, keputusan 3QFY24 kumpulan itu adalah selaras dengan jangkaan dan menjangkakan pendapatan pada suku akan datang yang lebih kukuh, disokong kemajuan yang lebih besar dalam pekerjaan pusat data.

 

Katanya, peningkatan yang dijangkakan itu sebahagian besarnya disebabkan kemajuan pakej pertama untuk projek pusat data JHB1X0 bernilai RM1.7 bilion di Johor.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan Sunway Construction akan melihat pendapatan yang lebih rendah pada FY24 sebelum unjuran pertumbuhan 53% pada FY25, disokong pengiktirafan hasil yang lebih kukuh daripada gabungan projek pusat data, yang membentuk kira-kira separuh daripada buku pesanan tertunggaknya.

 

RHB Investment juga menyatakan potensi jangka panjang untuk kumpulan itu, khususnya dengan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) melalui Sunway City Iskandar Puteri.

 

"Ini, sebagai tambahan kepada pengembangan hospital yang dirancang oleh syarikat induk Sunway di Pulau Pinang, Kelantan dan Iskandar Puteri, serta kampus pendidikan masa depan di Ipoh, meletakkan Sunway Construction untuk pertumbuhan yang berterusan," katanya dalam satu nota kajian.

 

RHB Investment mengekalkan saranan "beli" ke atas Sunway Construction dengan harga sasaran (TP) RM5.50.

 

Dalam nota kajian berasingan, Kenanga Research berkata, keputusan 9MFY24 Sunway Construction berada di bawah jangkaan, dengan keuntungan teras menyumbang hanya 55% daripada ramalan FY24.

 

Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh bahagian yang lebih tinggi bagi projek dalaman margin rendah semasa 3QFY24, yang membawa kepada margin keuntungan yang lebih rendah daripada jangkaan sebanyak 4%.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan peningkatan kukuh pada suku keempat dan FY25, apabila projek pusat data mendapat momentum.

 

Firma penyelidikan itu juga menyerlahkan prospek yang lebih luas untuk sektor pembinaan, dengan projek infrastruktur utama seperti LRT Bayan Lepas bernilai RM10 bilion, Lebuhraya Pan Borneo Sarawak & Sabah dan beberapa inisiatif tebatan banjir dijangka memacu pertumbuhan.

 

Katanya, pasaran pembinaan sektor swasta, terutamanya pelaburan dalam faundri semikonduktor dan pusat data, juga dilihat sebagai penyumbang utama.

 

Selain itu, Kenanga Research menyatakan, Sunway Construction sedang mengintai peluang selanjutnya dalam pembinaan pusat data, pakej kerja Laluan LRT Mutiara Pulau Pinang, dan kontrak daripada syarikat induknya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "market perform" dengan harga sasaran yang disemak semula sebanyak RM4.52 sesaham. - DagangNews.com