KUALA LUMPUR 2 Jan - Pengurus Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT), Sunway REIT Management Sdn Bhd, telah melengkapkan pengambilalihan Sunway Kluang Mall pada 30 Disember 2024 untuk pertimbangan pembelian sebanyak RM158 juta.
Pemaju hartanah itu berkata, Sunway Kluang Mall, yang dahulunya dikenali sebagai Kluang Mall terletak di tengah-tengah Johor, menjadikannya sebuah bandar strategik yang menghubungkan bandar-bandar utama seperti Johor Bahru, Muar dan Batu Pahat.
“Ia menyediakan sambungan yang sangat baik ke bahagian lain di Semenanjung Malaysia melalui lebuh raya dan kereta api utama.
“Dengan populasi lebih 320,000 dan potensi lebih kurang 1 juta penduduk tambahan di Johor tengah, daerah Kluang berfungsi sebagai destinasi runcit dan gaya hidup pilihan di rantau ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, Sunway Kluang Mall kini 99% diduduki, dengan lebih 130 penyewa.
Pusat beli-belah runcit itu menawarkan pelbagai tawaran runcit, termasuk jenama antarabangsa dan tempatan, kedai makanan dan minuman (F&B), serta perkhidmatan hiburan dan gaya hidup.
Diterajui oleh Pacific Hypermarket & Department Store, penawaran meluas pusat beli-belah itu seperti perkhidmatan kesihatan dan kecantikan, pawagam dan pusat boling meningkatkan pengalaman runcit keseluruhan.
Sunway Kluang Mall dijangka memberi hasil kepada portfolio Sunway REIT dengan anggaran awal Pendapatan Harta Tanah (NPI) sebanyak 7%.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Sunway REIT, Clement Chen berkata, pengambilalihan ini mengukuhkan portfolio Sunway REIT sebagai salah satu REIT terkemuka di Malaysia dengan meluaskan kehadiran kumpulan secara strategik di Johor, yang merupakan negeri pertumbuhan tinggi dan magnet pelaburan.
“Melalui pembelian ini kami mengambil peluang untuk meningkatkan lagi pusat beli-belah melalui pengoptimuman penyewaan, pengurusan proaktif dan inisiatif peningkatan aset (AEI) yang meningkatkan potensi pertumbuhan hartanah,” katanya. - DagangNews.com