Syarikat sekutu Seal Inc bekerjasama dengan firma China, Sungrow bangunkan projek BESS bernilai RM645 juta di Sabah | DagangNews Skip to main content

Syarikat sekutu Seal Inc bekerjasama dengan firma China, Sungrow bangunkan projek BESS bernilai RM645 juta di Sabah

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 27 Sept - MSR Green Energy Sdn Bhd (MSR-GE), syarikat bersekutu Seal Incorporated Bhd, telah bekerjasama dengan Sungrow, penyedia solar photovoltaic (PV) dan pembekal sistem storan tenaga yang berpangkalan di China, untuk membangunkan RM645 juta projek sistem simpanan tenaga bateri (BESS) di Sabah.

 

Pada 13 September, MSR-GE mengumumkan telah menerima surat anugerah daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk projek pembinaan tenaga bateri.

 

Inisiatif itu melibatkan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan BESS berkapasiti 100 megawatt (MW) dan kapasiti simpanan tenaga 400 megawatt-jam (MWj) di Lahad Datu, Sabah.

 

Dalam satu kenyataan, MSR-GE berkata ia telah menandatangani perjanjian dengan Sungrow, yang akan menyediakan rumusan tenaga boleh diperbaharui komprehensif, meningkatkan kecekapan dan kemampanan sambil menangani keperluan khusus pasaran tenaga.

 

"Kami berharap dapat menggabungkan kepakaran MSR-GE dalam penyampaian projek tenaga dengan pengalaman BESS khusus Sungrow untuk membawa penyelesaian storan tenaga skala grid yang paling maju dan boleh dipercayai di dunia ke Malaysia.

 

"Ini akan membantu Sabah menangani bekalan kuasa semasa dan cabaran kestabilan grid sambil memastikan grid disediakan untuk loji tenaga boleh diperbaharui masa hadapan," kata pengarah MSR-GE Xavier Qiang.

 

Sementara itu, Pengurus Negara Sungrow Malaysia, Cobe He berkata syarikat itu akan menempatkan pasukan projek khusus untuk menyokong MSR-GE, memastikan pelaksanaan yang cekap dan kemajuan projek yang lancar.

 

Saham Seal ditutup naik dua sen atau 2.53% kepada 81 sen pada Khamis, bernilai RM340.44 juta. - DagangNews.com