TA Securities kekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor minyak dan gas dibantu oleh permintaan kukuh diterajui Petronas | DagangNews Skip to main content

TA Securities kekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor minyak dan gas dibantu oleh permintaan kukuh diterajui Petronas

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Okt - TA Securities mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor minyak dan gas disokong oleh import minyak mentah yang stabil dari China dan permintaan yang kukuh diterajui oleh Petronas yang dijangka berterusan sehingga 2026.

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan harga minyak mentah Brent pada AS$80 setong bagi 2024 dan AS$75 setong menjelang 2025 berikutan lebihan bekalan yang dijangkakan.

 

"Walaupun prospek harga minyak terjejas, kedudukan Malaysia tetap kukuh disokong oleh trajektori perkembangan perniagaan huluan Petronas.

 

"Penyedia perkhidmatan huluan seperti Velesto Energy Bhd, Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd, MISC Bhd, Pantech Group Holdings Bhd dan Petronas Chemicals Group Bhd berada di kedudukan baik untuk memanfaatkan perkembangan perniagaan huluan Petronas," katanya dalam satu nota penyelidikan. 

 

Pada September 2024, lapan ahli daripada OPEC bersetuju untuk melanjutkan pemotongan pengeluaran sukarela mereka sebanyak 2.2 juta tong sehari sehingga akhir November, dengan rancangan untuk menghentikan secara berperingkat bulanan bermula 1 Disember 2024.

 

Katanya, negara-negara pengeluaran minyak dan gas berlebihan ini telah mengesahkan komitmennya untuk mengimbangi sepenuhnya pengeluaran berlebihan menjelang September 2025.

 

"Selaras dengan ramalan Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA), TA Securities berkata, pengeluaran gas dan minyak akan meningkat sebanyak 2.2% YoY pada 2025, berbanding pertumbuhan 1.3% dalam penggunaan.

 

"Jangkaan lebihan bekalan kira-kira 180,000 tong sehari ini berkemungkinan akan memberikan tekananan pada harga minyak mentah Brent.

 

“Hasilnya, kami telah menyemak semula unjuran harga minyak mentah Brent bagi FY24 kepada AS$80 setong (turun daripada AS$82) dan AS$75 setong bagi FY25 (turun daripada AS$85)," katanya. - DagangNews.com