CEO IJM Land Wong Tuck Wai bersara, diganti COO bermula 1 November 2024 | DagangNews Skip to main content

CEO IJM Land Wong Tuck Wai bersara, diganti COO bermula 1 November 2024

Datuk Wong Tuck Wai/Gambar IJM Corporation Berhad
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 30 Okt - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IJM Land Bhd, Datuk Wong Tuck Wai, akan bersara setelah 28 bulan berkhidmat di bahagian hartanah konglomerat IJM Corp Bhd. 

 

Menurut satu pengumuman menerusi e-mel kepada kakitangan pada Selasa, jawatan beliau akan digantikan oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) IJM Land, Datuk Tony Ling Thou Lung, berkuat kuasa 1 November 2024. 

 

Tuck Wai, 69, memutuskan untuk mengakhiri kontrak tetapnya lebih awal bagi meluangkan masa bersama keluarga dan menguruskan urusan peribadi. 

 

Hari terakhir beliau berkhidmat adalah pada 31 Oktober 2024.

 

Thou Lung menyertai IJM Land pada Mac 2023 sebagai COO selepas berkhidmat selama 15 tahun di S P Setia Bhd. 

 

Beliau akan bertanggungjawab merumus dan melaksanakan strategi serta rancangan untuk perniagaan dan portfolio pembangunan hartanah IJM Land.

 

Tuck Wai dilantik sebagai CEO IJM Land pada 1 Julai 2022. 

 

Beliau sebelum ini adalah Timbalan Presiden dan COO S P Setia. 

 

Menurut laman web IJM, beliau kini merupakan ahli lembaga ERMS Bhd dan Sebana Golf & Marina Resort Bhd. - DagangNews.com