Untung bersih ViTrox sebanyak RM32.5 juta di bawah jangkaan CGS International disebabkan hasil lebih lemah daripada jangkaan | DagangNews Skip to main content

Untung bersih ViTrox sebanyak RM32.5 juta di bawah jangkaan CGS International disebabkan hasil lebih lemah daripada jangkaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Okt - Untung bersih teras ViTrox Crop Bhd sebanyak RM32.5 juta pada 3QFY24 adalah di bawah jangkaan konsensus CGS International disebabkan hasil lebih lemah daripada jangkaan serta prospek makro yang tidak menentu. 

 

Firma penyelidikan berkata, untung bersih teras kumpulan itu bagi 9MFY24 juga menyusut sebanyak 25% dan meleset daripada jangkaan dengan hanya mencapai 60% daripada anggaran tahun penuh mereka.

 

"Secara keseluruhannya hasil 3QFY24 meningkat 7% berikutan tempahan kukuh berterusan daripada telefon bimbit China dan OEM automotif, perbelanjaan yang lebih tinggi daripada pemain pemasangan dan ujian semikonduktor penyumberan luar Taiwan (OSAT).

 

"Selain didorong perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), serta peningkatan umum dalam pelaburan dalam pengkomputeran berprestasi tinggi dan rumusan memori.

 

"Ini sebahagiannya diimbangi pengurangan pesanan yang lebih perlahan dari kawasan Amerika Syarikat (AS) dan Asia Barat disebabkan pilihan raya presiden dan isu logistik yang berterusan disebabkan oleh kekangan geopolitik semasa," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

CGS International menyemak turun pendapatan sesaham (EPS) kumpulan bagi FY24 disebabkan andaian penurunan pertumbuhan jumlah penghantaran serta kelewatan penghantaran pesanan selain pengukuhan ringgit.

 

Katanya, semakan semula ramalan itu adalah bagi memberi bayangan pertumbuhan hasil yang kukuh sebanyak 50.3% pada FY25 berbanding bpenurunan sebanyak 4% pada FY24 didorong pengiktirafan pesanan besar yang ditangguhkan dari FY24 kepada FY25.

 

"Sektor telekomunikasi, automotif dan pengguna kekal sebagai pemacu pertumbuhan industri utama (65% daripada hasil 9MFY24) bagi kumpulan itu," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'kurang' dengan harga sasaran (TP) RM2.93 sesaham.- DagangNews.com