Duopharma Biotech terima lima kontrak tambahan bernilai RM87.66 juta daripada Pharmaniaga, sediakan produk farmaseutikal kemudahan kerajaan  | DagangNews Skip to main content

Duopharma Biotech terima lima kontrak tambahan bernilai RM87.66 juta daripada Pharmaniaga, sediakan produk farmaseutikal kemudahan kerajaan 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Okt - Duopharma Biotech Bhd menerima lima kontrak bekalan tambahan berjumlah RM87.66 juta daripada Pharmaniaga Bhd bagi menyediakan 10 produk farmaseutikal dan bukan farmaseutikal kepada pejabat dan kemudahan kerajaan yang dikendalikan oleh Pharmaniaga.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, semua kontrak tambahan kekal sah sehingga 31 Disember 2026 atau mana-mana tarikh lain yang ditetapkan oleh kerajaan.

 

Anak syarikat milik penuh Pharmaniaga, Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd menganugerahkan empat surat tawaran (LOO) kepada Duopharma (M) Sdn Bhd, dan satu LOO kepada Duopharma Manufacturing (Bangi) Sdn Bhd.

 

Ini berikutan pengumuman Duopharma pada April 2024  yang telah menerima 11 LOO bagi membekalkan 86 produk farmaseutikal dan bukan farmaseutikal, bernilai RM578.1 juta.

 

Dengan lima kontrak bekalan tambahan ini, jumlah kontrak bekalan Duopharma kini berjumlah 96 produk, dengan nilai kontrak terkumpul RM665.76 juta.

 

Duopharma dimiliki 44.11% oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB), manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memegang 8.58% pegangan tidak langsung dalam kumpulan itu.

 

Bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2024 (6MFY24), keuntungan bersih Duopharma menurun sebanyak 9.11% kepada RM31.97 juta, daripada RM35.17 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu (6MFY23). 

 

Antara faktor penyusutan itu termasuk perubahan dalam campuran produk, kos operasi berkaitan kemudahan K3 yang baru siap yang lebih tinggi, peningkatan kos kewangan dan kadar pertukaran yang tidak menguntungkan.

 

Bagaimanapun, hasil 6MFY24 Duopharma meningkat sebanyak 11.77% kepada RM411.29 juta, daripada RM367.99 juta dipacu oleh jualan yang lebih kukuh dalam segmen farmaseutikal preskripsi, kepakaran etika dan eksport. - DagangNews.com