Ringgit diunjur catat penurunan bulanan terburuk sejak 2015 jika Kamala Harris tewas pilihan raya Presiden AS, kata OCBC | DagangNews Skip to main content

Ringgit diunjur catat penurunan bulanan terburuk sejak 2015 jika Kamala Harris tewas pilihan raya Presiden AS, kata OCBC

Ringgit susut lebih 6% berbanding dolar AS pada Oktober 2024 - Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Okt - Ringgit diunjur mengalami penurunan bulanan terburuknya dalam tempoh sembilan tahun, apabila pelabur mengecilkan semula aset berisiko di tengah-tengah kebimbangan pilihan raya Amerika Syarikat (AS).

 

Ringgit susut lebih 6% berbanding dolar AS pada Oktober 2024, meletakkannya pada kadar kerugian bulanan terbesar sejak Ogos 2015, kata Oversea-Chinese Banking Corp (OCBC).

 

"Pada Rabu, ringgit didagangkan pada 4.39 bagi setiap dolar AS. 

 

"Kekuatan dolar AS memberi tekanan berat terhadap wang Asia dan pada bulan Oktober, akibat peniaga menilai semula kadar pemotongan faedah Rizab Persekutuan AS dan mengelakkan aset berisiko menjelang pilihanraya AS," katanya dalam satu kenyataan. 

 

OCBC berkata, ringgit merupakan salah satu mangsa kerana kejayaannya sendiri di mana nilainya naik 14% berbanding dolar pada suku terakhir, menjadikannya prestasi terbaik Asia. 

 

Pakar strategi mata wang di OCBC Singapura, Christopher Wong berkata, kenaikan nilai ringgit yang ketara memberi lebih banyak ruang untuk pembetulan. 

 

“Sensitiviti ringgit terhadap Yuan China dan Yen Jepun juga merupakan antara yang tertinggi di rantau ini, ini mampu menjelaskan mengapa ringgit mengalami lebih tekanan daripada mata wang yang lain,” katanya.

 

Yen Jepun adalah satu-satunya mata wang di seluruh Asia yang mencatatkan prestasi lebih buruk daripada ringgit bulan ini manakala, Yuan luar pesisir China telah menyusut sekitar 2% berbanding dolar.

 

Nasib ringgit dalam jangka masa terdekat sebahagiannya bergantung kepada keputusan pilihan raya AS. 

 

Penganalisis di OCBC dan MUFG Bank meramalkan ringgit akan mengukuh jika calon Presiden, Demokrat Kamala Harris dipilih sebagai Presiden.

 

Katanya, ia akan mengurangkan risiko tarif yang boleh menjejaskan ekonomi di seluruh Asia.

 

MUFG meramalkan ringgit akan meningkat kepada 4.12 bagi setiap dolar menjelang akhir tahun, manakala OCBC menjangkakan ia meningkat kepada 4.22.- DagangNews.com