TA Securities positif terhadap prospek KIP REIT disokong prestasi kukuh portfolio hartanah sedia ada | DagangNews Skip to main content

TA Securities positif terhadap prospek KIP REIT disokong prestasi kukuh portfolio hartanah sedia ada

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Okt - TA Securities positif terhadap prospek KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) disokong prestasi kukuh daripada portfolio hartanah sedia ada, pajakan berterusan dan penambahbaikan operasi. 

 

Katanya, pihak pengurusan kumpulan juga komited terhadap pengurusan modal yang berdisiplin dan bertujuan memberikan pulangan yang mampan kepada pemegang unit.

 

"Dengan tumpuan untuk memperoleh aset akretif dan meneroka peluang pertumbuhan dalam kedua-dua sektor runcit dan perindustrian, pengurusan percaya REIT berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai nilai jangka panjang dan memanfaatkan peluang yang muncul," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, penyusutan keuntungan bersihnya kepada RM10 juta bagi suku pertama berakhir 30 September 2024 (1QFY25), daripada RM10.39 juta adalah kesan daripada perbelanjaan operasi yang lebih tinggi, serta yuran pengurusan dan kos pinjaman pengurusan.

 

Bagi tempoh pelaporan, hasil suku tahunan KIP REIT meningkat 19.2% kepada RM26.7 juta daripada RM22.4 juta setahun lalu, disokong oleh hasil yang lebih tinggi dalam segmen runcitnya, khususnya sumbangan daripada KIPMall Kota Warisan yang diperoleh pada Februari 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata, KIP REIT sebelum ini menyempurnakan beberapa pengambilalihan termasuk DPulze, hartanah Hextar, dan TF Value Mart, dengan jumlah pertimbangan pembelian RM433.1 juta.

 

Bagi membiayai sebahagian pengambilalihan DPulze, mereka juga merancang untuk melaksanakan penempatan 180 juta unit baharu, mengumpul sehingga RM172.3 juta.

 

"Kami optimis mengenai pengambilalihan ini, kerana ia sejajar dengan strategi KIP REIT untuk mengembangkan operasi dan meningkatkan jumlah aset di bawah pengurusan daripada RM1.06 bilion kepada RM2 bilion semasa dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

"Pengambilalihan DPulze dan TF Value Mart kedua-duanya dijangka siap menjelang suku pertama 2025. Sementara itu, pemerolehan hartanah industri dijangka berakhir antara Jun 2025 dan separuh pertama 2026," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.15 sesaham.- DagangNews.com