Sumbangan KWSP mandatori pekerja asing bawa kesan besar kepada sektor pembinaan - MBAM | DagangNews Skip to main content

Sumbangan KWSP mandatori pekerja asing bawa kesan besar kepada sektor pembinaan - MBAM

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 22 Okt - Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk menjadikan sumbangan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai mandatori bagi semua pekerja bukan warganegara, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025. 

 

Presiden MBAM, Oliver Wee Hiang Chyn berkata, walaupun pihaknya memahami rasional di sebalik menjaga simpanan persaraan pekerja asing, langkah itu akan membawa implikasi kos yang besar, terutamanya bagi sektor pembinaan.

 

"Dengan anggaran 500,000 pekerja pembinaan asing yang sah di Malaysia dan gaji minimum ditetapkan pada RM1,700, majikan diwajibkan untuk menyumbang 13% kepada KWSP.

 

"Ini bermakna beban kewangan tambahan dianggarkan tidak kurang daripada RM110 juta sebulan untuk industri pembinaan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambahnya, sektor pembinaan yang sudah menghadapi kenaikan kos bahan, kekurangan tenaga kerja dan persaingan yang sengit, tidak mampu menampung peningkatan besar dalam perbelanjaan operasi tanpa menjejaskan kelestarian perniagaan. 

 

Beliau pada masa sama menggesa kerajaan menangguhkan dan mempertimbangkan semula cadangan itu serta meneroka mekanisme alternatif yang melindungi kepentingan kedua-dua pekerja asing dan majikan tanpa mengorbankan kebolehlaksanaan kewangan industri pembinaan. 

 

Katanya, perbincangan konstruktif antara pihak berkepentingan adalah penting untuk memastikan sebarang perubahan dasar mencapai keseimbangan antara kebajikan pekerja dan kelestarian perniagaan. 

 

"Mungkin kerajaan boleh menggubal undang-undang atau mempertimbangkan mekanisme dan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkepentingan dalam industri pembinaan," ujarnya.

 

Beliau turut meminta agar kerajaan menangguhkan pelaksanaan dasar KWSP tersebut untuk pekerja asing sehingga pengaturan yang lebih baik dapat dilaksanakan. 

 

"MBAM kekal komited untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan sebarang perubahan dasar menyokong kebajikan pekerja asing dan kelestarian jangka panjang industri pembinaan," jelas beliau. - DagangNews.com