KUALA LUMPUR 16 Okt - Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi hab inovasi dan pembangunan mampan di Asia Tenggara bagi jangka panjang, disokong oleh Taman Teknologi Jerman yang diumumkan baru-baru ini di Melaka.
MIDF Research berkata, terdapat lebih 700 syarikat Jerman di Malaysia setakat ini, yang telah mewujudkan lebih 70,000 pekerjaan untuk rakyat tempatan.
Firma penyelidikan itu berkata, negara itu berdiri sebagai lokasi yang menarik, memandangkan lokasinya yang strategik dan infrastruktur yang dibangunkan.
"Memandangkan syarikat Jerman mematuhi amalan kemampanan, kami percaya projek ini sesuai dan tepat pada masanya untuk memperoleh pelaburan yang lebih baik bagi menyokong pembangunan taman teknologi itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Taman Teknologi Jerman direka untuk menarik syarikat teknologi dan pembuatan terkemuka Jerman, dan bertujuan menjadi hab inovasi dan pembangunan mampan di rantau ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Cypark tubuh konsortium dengan MCORP, Jakel bekal tenaga untuk Taman Teknologi Jerman di Melaka
Cypark Resources Bhd, Melaka Corporation (MCorp) dan Jakel Capital telah menandatangani memorandum perjanjian untuk bersama-sama meneroka dan membangunkan rumusan tenaga untuk taman perindustrian itu, dengan matlamat bersama untuk mengurus perancangan, penjanaan dan pengagihan sekurang-kurangnya 1,000 megawatt (MW) dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang.
Walaupun optimis terhadap projek itu, MIDF Research juga mengenal pasti risiko tertentu yang termasuk kos pendahuluan yang tinggi bagi penyediaan infrastruktur dan perubahan peraturan.
Firma penyelidikan itu berkata, risiko kawal selia adalah yang paling ketara, memandangkan syarikat Jerman terpaksa mematuhi beberapa peraturan apabila beroperasi di luar negara.
"Ini termasuk Akta Usaha Wajar Rantaian Bekalan (LkSG) yang memerlukan syarikat Jerman bersaiz sederhana memastikan rantaian bekalan mereka mematuhi piawaian hak asasi manusia dan alam sekitar.
"Secara keseluruhannya, kami optimis tentang konsortium ini dan usahanya untuk membawa tenaga boleh diperbaharui ke dalam operasi taman teknologi.
"Kami percaya Cypark Resources akan menjadi penerima manfaat utama daripada projek ini, memandangkan strategi perniagaan Cypark berakar umbi dalam masa depan yang mampan, dengan tumpuan dalam mengoptimumkan sumber, meminimumkan kos dan memaksimumkan kebolehlaksanaan dalam jangka panjang," katanya. - DagangNews.com