Tamparan berganda kepada eksport sawit Malaysia akibat langkah terbaharu Indonesia, India - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Tamparan berganda kepada eksport sawit Malaysia akibat langkah terbaharu Indonesia, India - PublicInvest

India naikkan cukai import, Indonesia turunkan levi eksport yang bakal beri kesan kepada eksport sawit Malaysia. -Gambar DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Sept - Pemotongan kadar levi eksport oleh Indonesia ditambah kenaikan cukai import India ke atas minyak masak diibaratkan 'tamparan berganda' kepada industri kelapa sawit Malaysia.

 

Public Investment Bank (PublicInvest) Research berkata, perkembangan di dua negara itu boleh memberi kesan negatif terhadap eksport minyak sawit Malaysia dalam beberapa bulan akan dating.

 

Katanya, Malaysia berpotensi kehilangan bahagian pasaran kepada Indonesia manakala permintaan untuk produk minyak sawit dari India mungkin lebih lemah kerana dipercayai mereka menyimpan stok sebelum pengumuman kenaikan cukai import.

 

"Kenaikan cukai import secara drastik (20%) oleh India  yang merupakan pengimport terbesar minyak masak akan menjadi lebih mencabar bagi penapis tempatan, yang telah bergelut pada masa lalu. 

 

 

"India ialah pengimport minyak sawit kedua terbesar Malaysia, menyumbang 22% daripada jumlah import tahun ini. 

 

"IOI Corp, KL Kepong dan SD Guthrie adalah pemain Malaysia yang terkenal yang mempunyai pendedahan kepada perniagaan hiliran," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kata Public Invest, Indonesia selaku pengeluar minyak sawit terbesar di dunia telah mengurangkan levi eksport minyak sawitnya untuk meningkatkan penghantaran. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Langkah drastik India naikkan cukai import sehingga 32% pasti jejaskan harga minyak sawit, permintaan - Maybank IB

 

Menurut firma penyelidikan it, ini susulan peningkatan mendadak cukai import ke atas pelbagai jenis minyak masak termasuk kelapa sawit di India. 

 

"Kami menganggarkan bahawa kadar levi baharu akan mengurangkan jurang harga MSM antara Malaysia dan Indonesia daripada RM290/tan kepada RM181/tan. 

 

"Pemain hiliran yang bergelut di Malaysia boleh menghadapi pukulan yang lebih besar memandangkan persaingan yang semakin meningkat. 

 

"Pada ketika laporan ini ditulis, niaga hadapan MSM ditutup pada RM3,879/tan. Mengekalkan Neutral pada prospek sektor dengan ramalan MSM setahun penuh sebanyak RM3,800/tan," jelasnya.

 

Menurut firma penyelidikan itu, dari segi positif, mungkin terdapat peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) daripada perniagaan huluan Indonesia.

 

"Menurut Kementerian Kewangan Indonesia, negara itu memotong levi eksport minyak sawitnya dalam usaha untuk meningkatkan penghantaran tempatan menjelang musim kemuncak pengeluaran.

 

"Pengeluar minyak sawit terbesar dunia menetapkan levi MSM pada 7.5% daripada harga rujukan, yang akan menyaksikan pemotongan duti daripada AS$90 kepada AS$63 untuk September. 

 

"Sementara itu, levi untuk produk sawit yang diproses adalah antara 3% dan 6%. Indonesia mengutip cukai eksport dan levi tambahan ke atas produk sawit, ujarnya. - DagangNews.com