TAS Offshore terima kontrak bina 8 bot tunda RM49 juta dari Indonesia | DagangNews Skip to main content

TAS Offshore terima kontrak bina 8 bot tunda RM49 juta dari Indonesia

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 23 Okt - TAS Offshore Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya telah memperoleh kontrak pembinaan kapal untuk lapan unit bot tunda dengan nilai kira-kira RM49.1 juta.

 

Kontrak itu ditandatangani dengan pelanggan baharu dari Indonesia. Kapal-kapal ini dijangka dihantar pada suku kedua 2025, kata syarikat itu dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

"Hasil yang dijana daripada kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Kumpulan TAS bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2025," katanya.

 

Syarikat yang berpangkalan di Sarawak itu berkata, tiada Pengarah dan/atau pemegang saham utama TAS Offshore Berhad atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak ini.

 

Dalam laporan tahunan 2024 yang diterbitkan bulan lalu, TAS Offshore memaklumkan syarikat itu telah  menandatangani 12 kontrak pembinaan kapal bernilai RM86.66 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Mei 2024 (FY24) dengan pelanggan dari Indonesia (85% daripada kontrak baharu) dan Singapura (15%).

 

Pada tahun yang ditinjau, kumpulan itu menyiapkan dan menghantar 10 unit bot tunda dengan jumlah nilai kontrak RM67 juta kepada pemilik kapal di Indonesia dan Singapura. Kontrak pembinaan kapal ini dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman kumpulan.

 

Jualan bot tunda menggandakan hasil kumpulan kepada RM72.39 juta pada TK24 daripada RM36.13 juta pada TK23, tetapi keuntungan selepas cukai kumpulan menurun kepada RM9.66 juta daripada RM15.28 juta tahun ke tahun.

 

Pada masa ini, kumpulan TAS mempunyai baki kontrak pembinaan kapal bernilai RM210 juta yang sedang dilaksanakan, yang dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangannya pada 2025 dan 2026.

 

Ketika pasaran ditutup hari ini, saham TAS menokok 0.76% kepada 66 sen sesaham, membawa kepada permodalan pasarannya berjumlah RM118 juta. - DagangNews.com