KUALA LUMPUR 20 Nov - Syarikat perkhidmatan pembinaan, TCS Group Holdings Bhd meraih kontrak bernilai RM611.3 juta, hampir tujuh kali ganda daripada nilai pasaran RM90.9 juta, untuk membina lebuh raya baharu dan menaiktaraf jalan raya di bawah Fasa 1B Lebuhraya Pan Borneo di Sabah.
Kerja-kerja yang dikenali sebagai Pakej Kerja 32 itu merangkumi jarak 18.2km antara Telupid dan Kampung Lumou Baru di Sabah, yang akan dibangunkan menjadi lebuh raya dua lorong dengan empat jambatan baharu, menurut pemfailan TCS di bursa pada Selasa.
Kontrak tersebut diperoleh melalui anak syarikat milik penuh TCS Construction Sdn Bhd, yang telah menerima Surat Anugerah (LOA) untuk projek berkenaan daripada Jabatan Kerja Raya Sabah.
Kerja-kerja pembinaan akan dimulakan pada 20 Disember 2024 dan dijangka siap pada 19 Jun 2028.
Pengarah Urusan TCS, Datuk Tee Chai Seng dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berbesar hati dapat terlibat dalam projek infrastruktur utama itu dan menyumbang kepada menaiktaraf kerja-kerja infrastruktur di Sabah.
"Dengan kejayaan kontrak terkini, kami berharap dapat meneruskan momentum yang sihat ini untuk meraih lebih banyak projek," katanya.
TCS Group menyediakan perkhidmatan pembinaan untuk bangunan, infrastruktur, kerja-kerja awam dan struktur di Malaysia.
Saham TCS ditutup setengah sen atau 3.4% lebih tinggi pada 15 sen pada Selasa, dengan nilai pasaran sebanyak RM90.9 juta. - DagangNews.com