KUALA LUMPUR 4 Okt - ZEEKR Malaysia secara rasmi mengumumkan permulaan operasinya dan menerima tempahan untuk kenderaan utiliti sukan (SUV) dua model kereta elektrik mereka iaitu ZEEKR X dan ZEEKR 009.
Harga anggaran bagi ZEEKR X adalah RM180,000 dan ke bawah, manakala harga anggaran bagi ZEEKR 009 adalah RM370,000 dan ke bawah.
Yuran tempahan ditetapkan pada RM2,000 dan RM4,000 masing-masing bagi ZEEKR X dan ZEEKR 009.
ZEEKR diwakili di Malaysia oleh Sentinel Automotive Sdn Bhd, yang merupakan pengedar serta penyedia perkhidmatan jualan, selepas jualan dan alat ganti.
Direka untuk pasaran global, ZEEKR X yang bergaya ditawarkan dalam dua varian berbeza iaitu Premium dan Flagship AWD.
Varian Flagship AWD adalah model teratas ZEEKR X yang dilengkapi dengan motor ganda yang menghasilkan 422 hp, menjadikannya SUV elektrik yang paling berkuasa dan terpantas dalam segmennya dengan masa pecutan 0-100 km/j hanya dalam 3.8 saat.
Sementara itu, variant Premium dikuasakan oleh motor tunggal di belakang (pemanduan roda belakang) yang memberikan kuasa 268 hp dan masa 0-100 km/j selama 5.6 saat.
ZEEKR X dilengkapi dengan bateri 66 kWh dan mampu mengecas 150 kW DC, membolehkan pengisian dari 10% hingga 80% dalam masa 30 minit.
Kedua-dua variant ZEEKR X ditawarkan dalam lima pilihan warna luar yang berbeza: Crystal White, Mist Grey, Grid Grey, Palace Beige, dan Pine Green, dengan trim interior Charcoal Black dan Stone Grey untuk semua pilihan warna luar.
ZEEKR 009 pula merupakan MPV yang boleh memuatkan sehingga 7 penumpang dan ditawarkan dalam dua versi iaitu Luxury 7 Penumpang dan Ultra Luxury 6 Penumpang.
Kedua-dua versi itu menggunakan dua motor elektrik yang memacu kesemua tayar, menghasilkan kuasa kuda 603 hp dan 693 tork yang membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat.
MPV itu mempunyai bateri sebesar 116 kWh yang memberikan jarak perjalanan 582 KM WLTP dan dilengkapkan dengan pengecasan pantas DC 150KW memendekkan masa pengecasan dari 10%-80% sepantas 30 minit. - DagangNews.com