KUALA LUMPUR 3 Dis - Puteri Selangor, Tengku Zatashah, dianugerahkan gelaran `Officier des Palmes Académiques' oleh Duta Besar Perancis ke Malaysia, Axel Cruau, yang mengiktiraf sumbangan besar baginda dalam mempromosikan bahasa dan budaya Perancis sebagai Presiden Alliance Française de Kuala Lumpur.
Sebagai penutur bahasa Perancis yang fasih dan penyokong pertukaran budaya, Tengku Zatashah yang juga anakanda Sultan Sharafuddin Idris Shah meluahkan rasa terima kasih atas penghormatan itu dan menekankan pentingnya mengukuhkan hubungan Malaysia-Perancis.
"Dengan penuh rasa syukur dan rendah hati, saya merasa sangat terhormat menerima anugerah ini.
"Perjalanan ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan tidak berbelah bahagi daripada Kedutaan Perancis khususnya Axel Cruau, yang amat penting dalam membawa budaya Perancis, terutamanya Festival Le French tahunan kami di Malaysia," titahnya sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Perancis di hantaran Instagramnya.
Baginda menerima anugerah berkenaan dalam satu majlis yang diadakan di sini hari ini.
Selain peranannya sebagai Presiden Alliance Française, Tengku Zatashah juga dikenali kerana kerja-kerja kemanusiaannya melalui inisiatif seperti Make-A-Wish Malaysia dan Yayasan Food Bank Malaysia.
Kempen-kempen alam sekitarnya, termasuk #sayno2plastic dan #zerofoodwastage, memperlihatkan komitmennya yang lebih luas terhadap kelestarian dan advokasi global. - DagangNews.com