Tesla guna komponen pembekal tempatan, terlibat dalam pemindahan teknologi - MITI | DagangNews Skip to main content

Tesla guna komponen pembekal tempatan, terlibat dalam pemindahan teknologi - MITI

KUALA LUMPUR 22 Nov - Pengeluar kenderaan elektrik (EV) Amerika Syarikat, Tesla, menggunakan komponen daripada kira-kira 45 pembekal tempatan secara langsung atau tidak langsung hingga kini, termasuk pemindahan teknologi kepada pembekal tersebut.

 

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), pengeluar tempatan digunakan terutamanya untuk penyediaan komponen semikonduktor, pemeriksaan mesin dan sistem automasi kilang.

 

"Walaupun Tesla tidak pernah memberikan komitmen untuk menjalankan pemasangan tempatan bagi kenderaan mereka, MITI melalui agensinya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, sentiasa berbincang mengenai potensi Tesla menggunakan rantaian bekalan tempatan untuk komponen pembuatan mereka," kata MITI dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen pada Khamis.

 

Kementerian itu menjawab pertanyaan daripada Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai pendirian dan strategi kerajaan berikutan laporan bahawa Tesla telah membatalkan rancangan untuk membina kilang di negara ASEAN, termasuk Malaysia.

 

MITI berkata, kehadiran Tesla di pasaran Malaysia menunjukkan keyakinan syarikat tersebut terhadap pasaran EV tempatan serta kepada dasar-dasar yang mempromosikan EV yang dilaksanakan oleh kerajaan.

 

Kerajaan, tambahnya, akan terus berusaha untuk menarik pelabur asing dan tempatan dalam sektor automotif dan berkaitan untuk melaksanakan operasi di negara ini.

 

"Langkah ini akan membantu meningkatkan kemampuan rantaian bekalan tempatan dan menggalakkan aktiviti pembuatan komponen automotif tempatan," tambahnya.

 

Kemasukan Tesla ke Malaysia pada 2023 adalah melalui program BEV Global Leaders AP, yang ditubuhkan khusus untuk menarik syarikat multinasional yang merupakan pengeluar kenderaan elektrik bateri (BEV) terkemuka untuk menubuhkan perniagaan dan melabur di Malaysia.

 

Beberapa syarat dikenakan kepada Tesla untuk menyertai program itu, termasuk komitmen untuk memasang sekurang-kurangnya 50 pengecas ultra-cepat dengan kapasiti melebihi 180 kilowatt, memastikan sekurang-kurangnya 30% pengecas ultra-cepat dibuka untuk penggunaan awam bagi jenama EV lain selain Tesla, dan bekerjasama dengan sekurang-kurangnya 10 syarikat tempatan untuk membangunkan teknologi pengecasan EV. - DagangNews.com