Tex Cycle lantik Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Teknikal baharu bantu pertumbuhan strategik | DagangNews Skip to main content

Tex Cycle lantik Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Teknikal baharu bantu pertumbuhan strategik

Lee Junyan (kiri) dan Ho Wai Mun.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 13 Jan - Penyedia rumusan pengurusan sisa dan kitar semula, Tex Cycle Technology (M) Berhad (Tex Cycle), mengumumkan pelantikan Ho Wai Mun sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) dan Lee Junyan sebagai Ketua Pegawai Teknikal (CTO). 

 

Pelantikan itu dibuat untuk mengukuhkan kedudukan kumpulan ketika ia terus melaksanakan pengembangan operasi menerusi penggabungan dan pengambilalihan.

 

Wai Mun, yang telah berkhidmat lebih 12 tahun di Tex Cycle, memperlihatkan kecemerlangan dalam pembangunan perniagaan, pemasaran dan pengurusan operasi.

 

Beliau yang merupakan graduan dari HELP University dalam bidang komunikasi massa, menyertai kumpulan pada tahun 2011 sebagai eksekutif pembangunan perniagaan dan kemudian memegang beberapa jawatan termasuk Pengurus Pemasaran dan Pengurus Besar Kanan. 

 

Sebagai seorang profesional bertauliah dalam pengurusan sisa terjadual, beliau membina hubungan baik dengan pelanggan, kejayaan operasi dan strategi yang fokus kepada kelestarian, sekali gus menjadikan beliau calon yang tepat untuk mengetuai operasi Tex Cycle sebagai COO.

 

Lee Junyan pula membawa kepakaran teknikal yang luas dan kepimpinan yang kukuh dalam peranan baharunya sebagai CTO. 

 

Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Nottingham di Malaysia, menyertai Tex Cycle pada tahun 2016 sebagai jurutera teknikal. 

 

Beliau mengetuai projek-projek tenaga boleh diperbaharui, termasuk loji kuasa gasifikasi sisa kepada tenaga dan sebagai pengurus teknikal kanan, beliau mengetuai inisiatif R&D yang meningkatkan kecekapan operasi dan kelestarian. 

 

Sebagai CTO, beliau akan memimpin inovasi teknikal dan usaha tenaga boleh diperbaharui Tex Cycle.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tex Cycle, Gary Dass A/L Anthony Francis berkata, pelantikan kedua-dua mereka dibuat pada waktu yang tepat ketika Tex Cycle meneruskan trajektori pertumbuhan yang strategik. 

 

"Kedua-duanya membawa pengalaman yang luas, kepimpinan yang terbukti dan memiliki pemahaman mendalam tentang industri kami. 

 

"Komitmen mereka yang berpanjangan kepada Tex Cycle dan kepakaran mereka dalam operasi serta teknologi akan menjadi aset yang tidak ternilai ketika kami mengembangkan perniagaan dan mengukuhkan kedudukan kepimpinan kami dalam pengurusan sisa yang lestari dan tenaga boleh diperbaharui," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Penambahbaikan kepimpinan Tex Cycle itu selaras dengan tumpuan kumpulan terhadap kecemerlangan operasi, inovasi teknologi dan kelestarian. 

 

Dengan pelantikan berkenaan, Tex Cycle berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan, memenuhi permintaan industri yang semakin berkembang dan memberikan nilai jangka panjang kepada para pemegang saham. - DagangNews.com