Tiga kapal utama bakal jadi penyumbang kepada pertumbuhan pendapatan Keyfield pada FY25, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Tiga kapal utama bakal jadi penyumbang kepada pertumbuhan pendapatan Keyfield pada FY25, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Jan - Pertumbuhan pendapatan Keyfield International Bhd pada FY25 bakal disumbangkan daripada tiga kapal utama iaitu Aulia, Itqan dan Gratitude, kata Kenanga Research.

 

Katanya, kapal Aulia dan Itqan sudah berjaya mendapatkan penyewaan manakala Gratitude berkemungkinan mendapatkan penyewaan sebaik sahaja ia bersedia untuk digunakan kerana pasaran kapal sokongan luar pesisir (OSV) yang ketat.

 

Firma penyelidikan itu berkata, semasa musim tengkujuh, lima kapal akan menjalani penyelenggaraan bagi memastikan ia bersedia untuk mengharungi tahun yang sibuk.

 

Bermula Disember 2024 hingga Februari 2025, lima bot kerja penginapan (AWB) - Lestari, Compassion, Amanah, Commander, dan Itqan (retrofitting) - dijadualkan untuk penyelenggaraan, diikuti Laguna Setia 2 dari Oktober hingga Disember 2025.

 

"Aktiviti penyelenggaraan ini dirancang secara strategik semasa musim tengkujuh bagi meminimumkan gangguan kepada operasi.

 

"Bagaimanapun, kami telah mengambil kira sumbangan pendapatan secara konservatif hanya daripada Aulia dan Itqan, kerana ia dijamin dengan sewaan bertempoh, manakala untuk Gratitude, sedang menunggu pengumuman sewaan.

 

"Secara keseluruhan, kami mengekalkan kadar sewa harian (DCR) akan terus meningkat pada 2025 dalam pasaran OSV tempatan, kerana bekalan kekal ketat manakala permintaan terus meningkat," katanya.

 

Kenanga Research menyukai kumpulan itu kerana pendedahannya kepada industri OSV tempatan yang sedang berkembang pesat dengan usia kapalnya sekitar lapan tahun dan kapal bertaraf DP-2 menjadi pilihan pelanggan. 

 

Selain itu, kemasukannya sebagai kontraktor panel untuk kapal tunda pengendalian sauh (AHTS) untuk Petronas yang boleh membuka pintu untuk lebih banyak penyewaan AHTS pihak ketiga.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM3.18 sesaham. - DagangNews.com