Pengecualian audit PKS oleh kerajaan mampu manfaatkan perniagaan - SAMENTA  | DagangNews Skip to main content

Pengecualian audit PKS oleh kerajaan mampu manfaatkan perniagaan - SAMENTA 

Sehingga 77.4% perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dikecualikan menjalankan audit kewangan mulai tahun depan - Gambar hiasan NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Dis - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) memuji tindakan kerajaan untuk mengecualikan sehingga 77.4% perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada menjalankan audit kewangan mulai tahun depan.  


 
SAMENTA berkata, pengecualian ini membolehkan PKS lebih fleksibel dalam membuat keputusan sejajar dengan keperluan perniagaan mereka.  

 

Presiden SAMENTA, Datuk William Ng, berkata syarikat hanya perlu menjalankan audit sekiranya mereka memohon geran kerajaan atau mendapatkan pinjaman bank.  

 

“Langkah ini penting untuk mengurangkan beban kos dan masa bagi perusahaan mikro dan kecil, terutama dalam suasana perniagaan yang mencabar,” katanya.  

 

Pengecualian audit yang diumumkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu melibatkan  PKS dengan hasil tahunan sehingga RM3 juta atau kurang daripada 30 pekerja.  

 

Langkah ini akan dilaksanakan secara berperingkat selama tiga tahun. PKS yang memperoleh hasil kurang daripada RM1 juta akan dikecualikan sepenuhnya daripada audit mulai 2025.  

 

SAMENTA
Presiden SAMENTA, Datuk William Ng

 

Ng juga berkata, yuran audit yang biasanya berkisar antara RM1,000 hingga RM30,000 akan dapat dijimatkan, membolehkan PKS menumpukan sumber mereka untuk pertumbuhan perniagaan.  

 

“Dalam kebanyakan perusahaan mikro dan kecil, pengarah dan pemegang saham adalah individu yang sama. Oleh itu, pengauditan wajib tidak relevan.  

 

"Pengecualian ini juga menjadikan kita setara dengan negara seperti Singapura, di mana syarikat dengan hasil dan aset kurang daripada S$10 juta dikecualikan daripada menjalankan audit .  

 

“PKS di Australia yang mempunyai hasil kurang daripada A$50 juta dan aset kurang daripada A$25 juta dikecualikan daripada menjalankan audit,”katanya.  

 

Ng turut memaklumkan SAMENTA akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan untuk mempercepatkan pemerkasaan kredit alternatif.

 

Ini termasuk mengecualikan keperluan laporan kewangan yang diaudit untuk tujuan pembiayaan mikro.  

 

“Dengan pendigitalan dan rejim e-invois yang akan datang, laporan kewangan yang diaudit adalah berlebihan dan tidak seharusnya menjadi syarat untuk mendapatkan pembiayaan,” katanya. - DagangNews.com