Titijaya gesa kerajaan pertimbang cadangan pemulihan industri hartanah dalam Belanjawan 2025 | DagangNews Skip to main content

Titijaya gesa kerajaan pertimbang cadangan pemulihan industri hartanah dalam Belanjawan 2025

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Okt - Pemaju bandar, Titijaya Land Bhd mengemukakan beberapa cadangan bagi menyokong pemulihan industri hartanah untuk dipertimbangkan kerajaan dalam Belanjawan 2025. 

 

Pengarah Urusan Titijaya Land, Datuk Lim Poh Yit berharap kerajaan tidak mengenakan cukai pusaka berkaitan harta tanah atau cukai harta tanah. 

 

"Seperti yang dilaporkan secara meluas, cukai pusaka hanya menyumbang sekitar 0.5% daripada hasil cukai keseluruhan secara purata di kalangan negara-negara dalam kumpulan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

 

"Oleh itu, pelaksanaan cukai ini hanya memberikan sumbangan yang sangat kecil kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Titijaya
Pengarah Urusan Titijaya Land, Datuk Lim Poh Yit

 

Beliau juga menekankan, dalam senario terburuk, ia boleh mencetuskan pengaliran modal apabila pemilik aset berpindah ke negara yang tidak mengenakan cukai pusaka. 

 

"Cukai harta juga akan menghalang pelaburan dalam hartanah, serta penubuhan dan pengembangan perniagaan. Dalam jangka masa panjang, ini akan memberi kesan negatif kepada ekonomi dan hasil cukai," kata beliau. 

 

Selain itu, beliau juga mencadangkan kerajaan mengaktifkan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang bukan sahaja mengurangkan bilangan unit hartanah tidak terjual tetapi juga membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

 

"Pemain industri hartanah termasuk kami telah berusaha meningkatkan kemampuan pemilikan rumah dan terdapat inisiatif dasar yang menggalakkan untuk meningkatkan pemilikan rumah di bawah pentadbiran Madani.

 

"Walau bagaimanapun, masih banyak unit kediaman yang dianggap tidak mampu milik dan isu lambakan ini belum dapat diselesaikan. 

 

"Sehingga separuh pertama tahun 2024, terdapat lebih daripada 22,000 unit kediaman tidak terjual di pasaran. 

 

"Selain membantu menyelesaikan masalah lambakan ini, pengaktifan semula HOC juga akan memberikan rangsangan tambahan kepada industri hartanah yang seterusnya memberi kesan positif kepada sektor-sektor utama ekonomi lain seperti sektor pembinaan," katanya.- DagangNews.com