Phillip Capital kekal saranan 'beli' didorong penerimaan kontrak kejuruteraan bernilai RM63 juta Critical Holdings  | DagangNews Skip to main content

Phillip Capital kekal saranan 'beli' didorong penerimaan kontrak kejuruteraan bernilai RM63 juta Critical Holdings 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Okt - Phillip Capital mengekalkan saranan 'beli' dengan sasaran harga (TP) yang tidak berubah iaitu RM1.65 terhadap Critical Holdings berdasarkan sasaran gandaan harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 20 kali pada FY25.

 

Ini berikutan kemenangan kontrak mekanikal dan elektrikal (M&E) bernilai RM63 juta daripada IJM Construction bagi mambangunkan projek loji semikonduktor di Pulau Pinang. 

 

Kontrak itu melibatkan pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian, pentauliahan dan penyelenggaraan perkhidmatan M&E bagi membangunkan loji semikonduktor baharu. 

 

Menerusi kontrak itu, Critical berperanan sebagai subkontraktor mekanikal, elektrik dan utiliti proses (MEP) untuk projek ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, projek itu dijangka bermula pada 1 November 2024 dan dijadualkan siap pada 17 Ogos 2025. 

 

"Projek tersebut menjadikan jumlah kemenangan kontrak Critical pada 24 Oktober kepada RM145 juta, meningkatkan buku pesanannya kepada anggaran RM267 juta.

 

"Kami digalakkan dengan kemenangan ini, kerana peningkatan baru-baru ini dalam aktiviti kontrak dalam sektor semikonduktor menunjukkan saluran projek yang mantap.

 

“Selain daripada segmen semikonduktor, kami mengunjurkan peningkatan dalam anugerah kontrak berkaitan pusat data dalam beberapa bulan akan datang. 

 

"Ini dijangka memacu lagi buku pesanan Critical," katanya dalam satu nota hari ini.

 

Phillip Capital berkata, dengan kemenangan kontrak itu, Critical berada di landasan yang betul bagi memenuhi ramalan pendapatan FY25 firma tersebut.

 

"Kami menjangkakan penilaian semula selanjutnya disokong oleh keterlihatan pesanan yang kukuh dan prospek tender positif, yang kami percaya masih belum dapat dilihat sepenuhnya dalam harga saham semasa.

 

"Kami gembira dengan kemenangan kontrak kedua Critical bulan ini yang berjaya mengumpul sebanyak RM145 juta pada Oktober 2024 menjadikan buku pesanan anggaran kepada RM267 juta," katanya.- DagangNews.com