Beberapa negara ASEAN turut tunjuk minat sertai BRICS - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Beberapa negara ASEAN turut tunjuk minat sertai BRICS - PM Anwar

KUALA LUMPUR 15 Okt - Beberapa negara ASEAN turut menunjukkan minat menyertai BRICS selepas Malaysia menyatakan hasrat untuk menjadi sebahagian daripada blok ekonomi itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau berkata, ASEAN tidak berhasrat menjadi arena perebutan kuasa-kuasa besar, dan blok itu akan mengekalkan tumpuannya kepada ekonomi serantau dengan rakan dialog, bagi memastikan hubungan antara negara anggota tidak akan terjejas.

 

“Asas ekonomi akan menjadi kriteria atau kayu pengukur utama, dan kami tidak mahu ASEAN menjadi arena perebutan kuasa-kuasa besar.

 

“Pada masa lalu, ia adalah (perjuangan antara) Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet. Sekarang, ia adalah antara AS dan China.

 

“Oleh itu, kami akan terus memperbaiki hubungan kami dengan China, dan apabila kami mendekati BRICS, beberapa negara ASEAN lain memutuskan untuk melakukan perkara yang sama,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) mengenai kompas moral yang akan digunakan pada masa hadapan bagi memastikan kestabilan ASEAN dikekalkan, apabila menangani isu geopolitik, seperti hubungan antara China dan AS , serta isu berterusan lain dalam ASEAN.

 

Amirudin juga bertanya tentang keputusan kehadiran Malaysia di Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45, serta persiapan dan hala tuju negara sebagai pengerusi ASEAN 2025, terutamanya berkaitan ekonomi dan cabaran ekonomi semasa.

 

Perdana Menteri berkata, selain menekankan kepentingan memperkukuh Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN dengan rakan dialog, termasuk Kesatuan Eropah (EU), Malaysia turut menumpukan usaha untuk meningkatkan rangkaian digital dan grid kuasa antara negara anggota semasa sidang kemuncak itu.

 

Beliau percaya, usaha itu akan memacu ekonomi serantau, terutamanya dengan penyertaan Timor Leste, yang keahliannya masih berjalan.

 

"Apabila ASEAN menjadi 11 (negara anggota), kekuatan ekonominya akan meningkat," katanya sambil menambah bahawa perdagangan antara wilayah telah melebihi AS$3.5 bilion (RM15.08 bilion) pada 2023, disokong oleh ekonomi ASEAN yang meningkat kepada AS$3.8 trilion.

 

Sementara itu, Anwar berkata, semasa mempengerusikan ASEAN 2025, kerajaan juga akan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik, selain memberi tumpuan kepada perdagangan antarabangsa dan hubungan diplomatik.

 

Pada 2025, Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak AseanGCC+China, yang akan merangkumi semua negara anggota ASEAN, enam negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang terdiri daripada Bahrain, Oman, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, serta China. - DagangNews.com