KUALA LUMPUR 16 Dis - TM melalui cabang penyelesaian digital sektor perusahaan dan kerajaannya, TM One, mengumumkan kerjasama strategik dengan PR1MA Corporation Malaysia (PR1MA) untuk memacu pembangunan kemudahan internet berkelajuan tinggi, perkhidmatan digital dan rumusan berasaskan Internet of Things (IoT) dalam projek perumahan PR1MA.
Dalam tempoh tiga tahun akan datang, TM One merancang untuk mewujudkan sistem pemantauan berpusat bagi penjejakan projek dan aliran kerja PR1MA, menambah baik operasi dan pengurusan sumber, serta membolehkan pembuatan keputusan berasaskan data.
Selain itu, rumusan berasaskan IoT TM One untuk pemantauan tenaga dan alam sekitar akan membantu PR1MA mengurangkan kos operasi dan menerima pakai amalan terbaik yang mampan.
Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan PR1MA untuk memperkukuh kemudahan digital dan perkhidmatan rumah pintar.
Katanya, kerjasama tersebut menyokong penciptaan ruang kediaman ketersambungan tinggi dan mesra alam, sejajar dengan visi PR1MA yang berpaksikan komuniti dan aspirasi Bandar Pintar Malaysia.
"Dengan memupuk penyediaan ekosistem untuk masa hadapan dan perbandaran mampan, kami akan bersama-sama menyepadukan inovasi digital dalam perumahan mampu milik yang berkualiti tinggi.
"Inisiatif ini bukan sahaja memperkasakan komuniti digital dan gaya hidup, tetapi juga mewakili satu lagi kejayaan dalam perjalanan TM sebagai Digital Powerhouse untuk memacu pertumbuhan industri dan peluang baharu untuk organisasi dan negara," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Anggota Perbadanan PR1MA Corporation Malaysia, Datuk Seri Mohd Nazri Md. Shariff berkata, pihaknya teruja bekerjasama dengan TM dalam misi menawarkan rumah mampu milik berkualiti tinggi kepada rakyat Malaysia.
"PR1MA kekal berdedikasi untuk membina kediaman moden dan selesa yang meningkatkan taraf hidup penduduk.
Kerjasama kami dengan TM akan membawa akses internet berkelajuan tinggi kepada komuniti PR1MA, memudahkan penduduk bekerja, belajar dan menikmati hiburan dari rumah mereka," ujarnya.
Jelas beliau, kerjasama itu juga membolehkan pihaknya meningkatkan perkhidmatan pengurusan hartanah melalui teknologi digital termaju.
"Melalui kerjasama ini, PR1MA menyasarkan untuk menyepadukan rumusan pintar daripada perancangan kepada pembinaan, memastikan pengurusan projek yang lebih cekap.
"Ia juga akan membolehkan anak syarikat kami, PR1MA Communications Sdn Bhd dan PR1MA Facilities Management Sdn Bhd menyediakan sambungan mampan dan teknologi canggih yang meningkatkan kemudahan, keselamatan dan kualiti hidup penduduk," katanya. - DagangNews.com