TNB, syarikat utiliti elektrik pertama lancar Rangka Kerja Pembiayaan Peralihan di ASEAN | DagangNews Skip to main content

TNB, syarikat utiliti elektrik pertama lancar Rangka Kerja Pembiayaan Peralihan di ASEAN

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Sept - Tenaga Nasional Bhd (TNB) melancarkan Rangka Kerja Pembiayaan Peralihan sulungnya dan menjadi syarikat utiliti elektrik pertama di ASEAN yang melaksanakan insentif itu.

 

Gergasi utiliti itu berkata, perkara itu menyerlahkan komitmen TNB terhadap peralihan tenaga dan menyokong agenda penyahkarbonan Malaysia.

 

Rangka kerja itu sejajar dengan matlamat negara untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

 

“Rangka kerja itu berfungsi menyelaraskan pembiayaan TNB dan anak syarikatnya kepada komitmen kemampanan korporat seperti yang digariskan dalam Laluan Kelestarian 2050, Pelan Peralihan Tenaga dan strategi korporat Reimagining TNB 2025 (RT2025) yang menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu menyatakan, rangka kerja itu menetapkan kriteria untuk projek sedia ada atau baharu yang menyokong peralihan tenaga, berikutan amalan terbaik pasaran yang berkaitan, termasuk Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Mampan Versi 2 dan Panduan Kewangan Peralihan ASEAN.

 

tnb
Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan

 

Menerusi rangka kerja ini, TNB akan dapat mengeluarkan instrumen hutang hijau, sosial dan/atau kemampanan berlabel, termasuk Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI), serta instrumen hutang berlabel peralihan untuk membiayai projek yang akan memberikan impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar.

 

Maybank Investment Bank Bhd bertindak sebagai penasihat rangka kerja kemampanan bagi pembangunan rangka kerja, manakala TNB menggunakan Sustainalytics untuk menyemak dan memberikan pendapat pihak kedua mengenai penjajarannya dengan garis panduan, prinsip, piawaian yang relevan serta cadangan Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa bagi Buku Panduan Kewangan Peralihan Iklim 2023.

 

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, TNB merupakan pemain utiliti elektrik pertama di ASEAN yang mewujudkan Rangka Kerja Kewangan Peralihan.

 

“Kami berbangga dengan penglibatan dengan Maybank dalam membangunkan Rangka Kerja Kewangan Peralihan TNB yang akan memacu inisiatif peralihan tenaga kami dan mempercepatkan program peralihan tenaga negara.

 

“Rangka kerja itu berfungsi sebagai panduan untuk pelaburan kami dalam aktiviti pengurangan pelepasan dan merupakan langkah proaktif dalam perjalanan peralihan tenaga. 

 

"Berpandukan strategi Reimagining TNB dan Pelan Peralihan Tenaga kami, pencapaian ini menekankan komitmen kumpulan untuk beralih ke arah masa depan tenaga yang lebih mampan dan berdaya tahan selaras dengan objektif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) Malaysia,” katanya.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, pihaknya berbesar hati untuk menyokong TNB dalam perjalanan peralihannya dan mengucapkan tahniah kepada mereka atas pencapaian pertama seumpamanya di ASEAN.

 

"Dengan adanya Rangka Kerja Kewangan Peralihannya, TNB boleh membuka potensi penuh pelaburannya ke dalam aktiviti peralihan karbon rendah sambil memberikan contoh kepada peserta sektor berintensif karbon yang lain. 

 

"Selaras dengan teras strategik M25+ Maybank untuk menjadi peneraju kemampanan serantau, kami akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong syarikat di seluruh ASEAN untuk menyahkarbon dan beralih ke arah sifar bersih," katanya. - DagangNews.com