Toshiba lancarkan Pemanas Air SensTemp Suhu Stabil, teknologi pintar dan mesra alam untuk kehidupan moden | DagangNews Skip to main content

Toshiba lancarkan Pemanas Air SensTemp Suhu Stabil, teknologi pintar dan mesra alam untuk kehidupan moden

Pengarah Urusan Toshiba Sales & Services Sdn Bhd, Steven Yang, memperkenalkan Pemanas Air SensTemp Suhu Stabil.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 Jan - Toshiba memperkenalkan inovasi terbaharunya, Pemanas Air SensTemp Suhu Stabil, yang menawarkan rumusan rumah pintar, selamat dan mesra alam yang sesuai dengan gaya hidup rakyat Malaysia.

 

Pasaran pemanas air di Malaysia dijangka berkembang dengan kadar CAGR 9.08% dari 2024 hingga 2032, didorong oleh permintaan yang semakin meningkat terhadap rumusan pemanasan air yang cekap dan praktikal. 

 

Trend itu jelas kelihatan dalam pasaran yang terus berkembang dengan pelbagai pelancaran produk serta inovasi pemanas air dan peralatan mandi.

 

Pengarah Urusan Toshiba Sales & Services Sdn Bhd, Steven Yang berkata, segmen pemanas air di Malaysia amat mencabar. 

 

toshiba

 

Katanya, selain keperluan pasaran untuk pemanas air yang mempunyai fungsi pintar dan rekaan moden, kesedaran yang semakin meningkat terhadap kelestarian dan penjimatan tenaga terus mendorong permintaan bagi produk yang mesra alam. 

 

"Justeru, Toshiba kekal komited untuk menjadi jenama yang boleh dipercayai bagi melengkapkan keperluan rumah moden di seluruh dunia dan memberi pengalaman yang terbaik kepada pengguna melalui produk rekaan yang menekankan kualiti, inovasi dan boleh dipercayai," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambah beliau, Pemanas Air SensTemp Suhu Stabil adalah bukti keupayaan Toshiba untuk menggabungkan teknologi terkini dengan kehidupan harian.

 

Sempena pelancaran itu, Toshiba turut menawarkan hadiah lumayan berupa sebuah kereta Lexus baharu untuk dimenangi pemenang bertuah. 

 

Tawaran istimewa tersebut terbuka kepada pengguna yang membeli mana-mana dua produk Toshiba yang bernilai lebih RM2,000, mulai sekarang hingga 15 Januari 2025.

 

toshiba
Pengguna yang membeli mana-mana dua produk Toshiba yang bernilai lebih RM2,000, mulai sekarang hingga 15 Januari 2025, berpeluang memenangi sebuah kereta Lexus baharu.

 

Pemanas Air SensTemp Suhu Stabil membekalkan air mandi pada suhu yang konsisten tanpa mengalami suhu turun naik. 

 

Pemanas air itu juga mampu menyesuaikan kuasa pemanasan mengikut masa nyata bagi mengekalkan suhu air yang stabil dan memastikan kebolehpercayaan.

 

Ciri-ciri pemanas air seperti Sensor Aliran Hall-Effect dan Sensor Suhu Air juga mampu mengesan perubahan tekanan dan suhu air mengikut masa nyata. 

 

Sensor berkenaan menggunakan cip pintar yang boleh mengehadkan kuasa pemanasan yang diperlukan secara tepat, memastikan suhu air yang stabil dan mengurangkan pembaziran tenaga. 

 

Untuk pengguna yang prihatin terhadap alam sekitar, sistem itu juga boleh mengoptimumkan penggunaan kuasa dengan bijak untuk meminimumkan kesan negatif terhadap alam sekitar selain memberikan kadar pemanasan yang berprestasi tinggi.

 

Keselamatan dan kelestarian pengguna turut diutamakan dengan teknologi Pemanas Pengasingan Air-Elektrik yang secara automatik menyesuaikan kuasa pemanasannya untuk mencapai suhu mandi yang diinginkan disamping memastikan air tidak bersentuhan dengan komponen elektrik. 

 

Perlindungan inovatif tersebut bertujuan mengasingkan aliran air daripada litar elektrik bagi mengurangkan risiko kebocoran atau kerosakan elektrik.

 

Bagi mempertingkatkan kemudahan harian, SensTemp juga menyediakan pelbagai pilihan mod mengikut kesesuaian individu. 

 

Mod Relaks secara beransur-ansur memanaskan air kepada 40°C, mengekalkannya selama dua minit dan kemudian menyejukkannya kepada 38°C, mencipta pengalaman seperti spa yang mengalakkan keselesaan dan tidur yang lebih baik. 

 

Mod Sukan bergilir-gilir antara kitaran panas dan sejuk, juga mampu memanaskan air kepada 39°C untuk pemulihan otot, diikuti dengan variasi suhu yang merangsang peredaran darah dan meningkatkan metabolisme. 

 

toshiba

 

Mod iTemp pula secara bijak menyesuaikan suhu air berdasarkan perubahan musim, memastikan keselesaan sepanjang tahun yang sesuai dengan permintaan individu, tanpa memerlukan pelarasan manual.

 

Pemanas Air SensTemp Suhu Stabil kini boleh didapati di mana-mana kedai peralatan rumah, dengan harga bermula dari RM599 hingga RM1,099. 

 

Selain ciri-ciri seperti Teknologi SensTemp untuk pengawalan suhu stabil dan fungsi keselamatan, rangkaian itu juga dilengkapi dengan pam DC untuk tekanan air yang lebih baik dan paparan elektronik bagi pelarasan yang lebih tepat. - DagangNews.com