UEM Edgenta catat hasil RM2.23 bilion pada suku ketiga, untung bersih kumpulan lebih RM33 juta  | DagangNews Skip to main content

UEM Edgenta catat hasil RM2.23 bilion pada suku ketiga, untung bersih kumpulan lebih RM33 juta 

Gambar hiasan dari Linkedin UEM Edgenta
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Nov - UEM Edgenta Bhd mencatat hasil suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2024 (3QFY24) pada RM2.23 bilion, mewakili kenaikan 7.6% daripada RM2.07 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat penyedia rumusan infrastruktur itu juga mencatat untung bersih sehingga kini (YTD) kepada RM33.4 juta, mencerminkan pertumbuhan 16.8%.

 

"UEM Edgenta mencatat untung bersih sebanyak RM10.4 juta pada suku tersebut, hampir dua kali ganda berbanding prestasi suku yang sama tahun lepas iaitu RM5.2 juta.

 

"Pada 3QFY24, buku pesanan UEM Edgenta berjumlah RM9.1 bilion berikutan penerimaan kontrak tambahan bernilai RM277 juta. 

 

“RM230 juta daripadanya pengambilalihan kerja-kerja kejuruteraan di Sabah dan kontrak kecekapan tenaga," katanya.

 

Memandang ke hadapan, syarikat terus komited untuk mengukuhkan daya tahan jangka panjang dengan meningkatkan operasi teras dan meluaskan kehadirannya secara strategik dalam pasaran utama.

 

Mengulas mengenai keputusan kewangan terkini, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin, berkata, ia menggambarkan hala tuju strategik, daya tahan operasi dan komitmen teguh kumpulan untuk mengekalkan margin dalam landskap kompetitif.

 

"Pencapaian ini terbukti dalam pertumbuhan kedua-dua hasil dan keuntungan, didorong oleh pengoptimuman kos yang berkesan.

 

“Kami akan mengekalkan momentum ini dengan mengintegrasikan pertumbuhan kami di Emiriah Arab Bersatu dan Kerajaan Arab Saudi serta menyasar untuk mempercepatkan pemerolehan pasaran dan menumpukan pada penciptaan nilai melalui rumusan teknologi," katanya- DagangNews.com