KUALA LUMPUR 12 Nov - UEM Sunrise Bhd bekerjasama dengan Maybank untuk melancarkan HomeClick, sebuah platform dalam talian serba lengkap yang direka untuk memudahkan proses pembelian rumah dan memberikan pengalaman yang lancar kepada pembeli.
Buat masa ini, HomeClick menawarkan pembelian secara dalam talian untuk projek Residensi ZIG, Kiara Bay, menyediakan pengalaman digital yang komprehensif kepada bakal pembeli.
Ciri utama seperti tempahan unit dalam talian memudahkan pembeli untuk memilih dan rumah idaman mereka hanya dengan beberapa klik.
Diakses secara eksklusif melalui www.uemsunrise.com, platform inovatif tersebut menetapkan piawaian baharu bagi masa depan pembelian rumah, yang membolehkan pembeli mengambil kawalan ke atas perjalanan mereka pada kadar mereka sendiri, pada masa mereka sendiri, dan dari mana sahaja mereka berada.
Dalam kerjasama dengan Maybank, HomeClick mengintegrasikan alat pembiayaan Home2u Maybank, menawarkan proses permohonan pinjaman dalam talian yang lancar dan cepat terus melalui HomeClick.
Dengan integrasi berkenaan, pembeli rumah baharu UEM Sunrise yang layak dapat memperoleh kelulusan pembiayaan rumah mereka hampir serta-merta dalam sepuluh saat, dengan Surat Tawaran dikeluarkan dalam masa sejam.
Selain itu, ciri penyaringan pinjaman pilihan yang dikendalikan oleh Finology tersedia untuk memberikan pemeriksaan kelayakan yang dipermudahkan sebelum meneruskan permohonan.
Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, berdasarkan kerjasama itu, pihaknya mahu mengubah pengalaman pembeli rumah dengan menawarkan pendekatan digital yang membawa kemudahan dan ketelusan di setiap proses.
"Platform ini lebih daripada sekadar alat dalam talian. Ia mencerminkan komitmen kami untuk berkembang seiring dengan keperluan pelanggan dalam era digital, menjadikan pemilikan rumah bukan sahaja mudah diakses secara digital tetapi juga lancar dan efisien," katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, pihaknya optimis terhadap potensi platform terbabit dalam memberikan sumbangan positif kepada pendapatan UEM Sunrise.
"Kami menjangkakan peningkatan dalam langganan kepada platform ini, walaupun masih awal untuk berkongsi angka tertentu," katanya menambah, bahawa UEM Sunrise sedang berusaha untuk memasukkan perjanjian jual beli elektronik (eSPA) sebagai sebahagian daripada proses yang dipermudahkan.
Beliau bagaimanapun berkata, pelaksanaan eSPA akan bergantung kepada kelulusan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. - DagangNews.com