Untung bersih Hartalega pada 2QFY25 susut 69% kepada RM8.62 juta kesan pengukuhan nilai ringgit | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Hartalega pada 2QFY25 susut 69% kepada RM8.62 juta kesan pengukuhan nilai ringgit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Nov - Untung bersih Hartalega Holdings Bhd bagi suku kedua berakhir 30 September 2024 (2QFY25) susut 69% kepada RM8.62 juta berbanding RM27.69 juta pada suku sama tahun lalu kesan pengukuhan nilai ringgit dan kenaikan harga bahan mentah.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku itu bagaimanapun meningkat kepada RM652 juta berbanding RM452 juta pada 2QFY24.

 

"Walaupun peningkatan kapasiti pengeluaran telah meningkatkan kecekapan operasi, membawa kepada pengurangan kos buruh, penyelenggaraan dan utiliti, tetapi peningkatan kos bahan mentah memberi kesan kepda margin keuntungan operasi," katanya.

 

Katanya, bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 30 September 2024 (6MFY25) kumpulan itu merekodkan untung bersih sebanyak RM40.55 juta berbanding RM24.77 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Peningkatan itu didorong oleh hasil yang lebih tinggi sebanyak RM1.2 bilion, meningkat daripada RM892 juta, terutamanya disebabkan oleh peningkatan jumlah jualan.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, cabaran berterusan untuk industri sarung tangan getah disebabkan oleh lebihan bekalan global yang berterusan walaupun sektor itu terus menjalani pelarasan rantaian bekalan dan menuju ke arah keseimbangan.

 

Katanya, pasaran kekal berdaya saing tinggi di kalangan pengeluar serantau dan domestik yang terus memberi tekanan pada purata harga jualan.

 

"Sektor ini menghadapi kekangan perkapalan global akibat krisis Laut Merah yang berterusan, yang telah mengganggu laluan perdagangan global dan menyebabkan kelewatan penghantaran.

 

"Ketidakstabilan dalam pasaran tukaran mata wang asing akibat pengkuhan ringgit berbanding dolar amerika syarikat (AS), juga telah memberi kesan buruk kepada perniagaan eksport sarung tangan," katanya.

 

Kumpulan itu bagaimanapun positif terhadap prospek jangka panjang sektor itu dan menjangkakan pengembangan melangkaui tahap permintaan pra pandemik, didorong peranan penting sarung tangan getah dalam sektor penjagaan kesihatan global.

 

Trajektori pertumbuhan itu disokong peningkatan kesedaran tentang amalan kebersihan dan jangkaan peningkatan dalam penggunaan sarung tangan di seluruh dunia.- DagangNews.com