Untung bersih Kelington pada 3QFY24 meningkat kepada RM32.92 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Kelington pada 3QFY24 meningkat kepada RM32.92 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Nov - Untung bersih Kelington Group Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY24) meningkat kepada RM32.92 juta berbanding RM31.7 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, hasil kumpulan itu menyusut kepada RM307.3 juta berbanding RM401.8 juta disebabkan beberapa projek utama di Singapura dan Malaysia sudah hampir siap.

 

Margin keuntungan kasar meningkat dengan ketara kepada 22.8% didorong fokus strategik pada komposisi hasil dan gabungan projek yang menggalakkan bersama dengan sumbangan daripada bahagian gas industri. 

 

Bagaimanapun, peningkatan ini sebahagiannya telah diimbangi oleh kerugian tukaran wang asing yang belum direalisasi sebanyak kira-kira RM6.7 juta, terutamanya disebabkan oleh penilaian semula baki mata wang asing dan belum terima apabila ringgit bertambah kukuh. 

 

Ini menghasilkan keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham sebanyak RM32.9 juta pada 3QFY24, berbanding RM31.7 juta suku sama tahun lalu.

 

Pada 3QFY24, bahagian ketulenan ultra tinggi (UHP) terus menjadi pemacu hasil utama kumpulan, menyumbang 68% daripada jumlah hasil manakala bahagian kontrak am menyumbang 10% dan kejuruteraan proses menyumbang 6%. Peralatan dan bahan merangkumi baki 4% daripada jumlah hasil bagi tempoh tersebut.

 

Hasil dari China meningkat kepada RM78.8 juta pada 3QFY24, mewakili pertumbuhan ketara 22.3% berbanding RM64.5 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

Bagi 9MFY24 kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih RM84.4 juta dengan hasil RM967.8 juta, mewakili pertumbuhan sebanyak 26.1% berbanding RM66.9 juta pada 9MFY23.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Raymond Gan berkata, dengan pendapatan kukuh bagi sembilan bulan pertama, pihaknya yakin dapat mencapai satu lagi tahun cemerlang didorong pelaksanaan buku pesanan sedia ada di seluruh pasaran utama dan momentum berterusan dalam perniagaan gas perindustrian.

 

“Sepanjang 9MFY24, kumpulan memperoleh kontrak baharu bernilai RM999 juta, meningkatkan jumlah buku pesanan tertunggak kami kepada RM1.45 bilion. 

 

"Dengan permintaan eksport yang kukuh untuk LCO2, penggunaan loji LCO2 kami meningkat dengan pesat. 

 

"Kami juga telah mendapatkan tanah bersebelahan dengan kilang sedia ada, memberikan fleksibiliti yang diperlukan untuk mengembangkan kapasiti apabila permintaan meningkat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sehingga 30 September 2024, ekuiti kumpulan (tidak termasuk kepentingan bukan kawalan) meningkat kepada RM421.2 juta, meningkat daripada RM332.6 juta pada akhir Disember 2023 didorong pelaksanaan waran dan keuntungan suku tahunan yang konsisten. - DagangNews.com