KUALA LUMPUR 2 Dis - Tune Protect Group Bhd (Tune Protect) mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 50.3% kepada RM7.2 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY24) berbanding RM48 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Kenaikan itu dipacu oleh hasil taja jamin yang lebih baik dan pengurusan perbelanjaan serta tuntutan yang lebih baik.
Keuntungan taja jamin kumpulan meningkat 17.3% kepada RM6.1 juta walaupun penurunan hasil insurans sebanyak 6.3%, yang jatuh kepada RM100.2 juta pada 3QFY24 berbanding RM106.9 juta pada 3QFY23.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, How Kim Lian berkata, kejatuhan hasil itu berpunca daripada kesan sekali daripada skim Tenang yang direkodkan pada 3QFY23 dan ketiadaan pendapatan komersial tertunda yang dibawa dari 2022.
Kumpulan itu melaporkan peningkatan RM3 juta dalam tuntutan dan perbelanjaan bersih yang ditanggung, sebahagian besarnya disebabkan oleh pengurangan kos operasi dan tuntutan yang menggalakkan dalam portfolio kebakaran dan kemalangan diri (PA).
Beliau berkata, tuntutan bersih syarikat dan perbelanjaan boleh diagihkan menunjukkan peningkatan yang ketara didorong kawalan perbelanjaan dan hasil tuntutan yang lebih baik dalam segmen utama.
"Kumpulan juga telah mengurangkan premium insurans semulanya sebagai sebahagian daripada semakan portfolio perniagaan untuk memberi tumpuan kepada segmen margin yang lebih tinggi.
"Kerugian pertukaran mata wang asing sebanyak RM4 juta, disebabkan peningkatan mendadak ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), menjejaskan keuntungan kasar.
"Bagi sembilan bulan pertama 2024 (9MFY24), Tune Protect merekodkan kerugian kasar sebanyak RM5 juta, terjejas oleh tiga tuntutan berkaitan kebakaran yang ketara. Tuntutan ini, walaupun lebih tinggi daripada biasa, dijangka normal pada masa hadapan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kim Lian berkata, kumpulan itu memperuntukkan semula pelaburan ke dalam dana unit amanah berisiko rendah, disokong sekuriti dan bon kerajaan.
Mengulas mengenai prospek, Kim Lian berkata, kumpulan itu kekal fokus mengukuhkan keuntungan dalam segmen perniagaan utama sambil mengekalkan kawalan kos.
Beliau berkata, dalam segmen insurans motor, Tune Protect sedang melaksanakan strategi penetapan harga dan inisiatif pengurusan tuntutan untuk menyelaraskan nisbah tuntutannya dengan penanda aras pasaran.
Katanya, syarikat itu optimis mencapai pertumbuhan yang stabil pada suku hadapan, memandangkan usahanya mengoptimumkan kos dan meningkatkan prestasi portfolio, terutamanya dalam insurans perjalanan.
“Selaras dengan semakan portfolio perniagaan kumpulan, kami akan terus memberi tumpuan kepada segmen perniagaan yang lebih menguntungkan sambil mengekalkan disiplin kos bagi memastikan hasil pengunderaitan yang menggalakkan pada suku akan datang,” katanya. - DagangNews.com