KUALA LUMPUR 19 Nov - Penyedia perkhidmatan kejuruteraan elektrik, HE Group Bhd yang disenaraikan di Pasaran ACE pada Januari lalu, mencatatkan lonjakan 32.38% dalam keuntungan bersih suku ketiganya, berikutan peningkatan sumbangan daripada projek-projek dengan margin lebih tinggi, terutamanya dalam segmen penyambungan peralatan elektrik dan pengubahsuaian.
Keuntungan bersih untuk suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY2024) meningkat kepada RM4.62 juta berbanding RM3.49 juta pada 3QFY2023, meskipun pendapatan menurun 25.4% kepada RM58.9 juta berbanding RM78.9 juta, disebabkan oleh pengurangan penghantaran projek dalam segmen sistem pengedaran kuasa dan sistem bangunan lain, menurut pemfailan bursa pada hari Isnin.
Tiada dividen diumumkan.
Bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2024 (9MFY2024), HE Group mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM10.33 juta, meningkat 24.46% berbanding RM8.3 juta pada 9MFY2023, yang dikaitkan dengan margin keuntungan yang lebih baik dan peningkatan pendapatan lain sebanyak RM760,000.
Pendapatan terkumpul meningkat 7.79% kepada RM172.63 juta berbanding RM160.16 juta, terutamanya disokong oleh sumbangan lebih tinggi daripada segmen penyambungan peralatan elektrik dan pengubahsuaian, di mana pendapatan utama meningkat kepada RM42.34 juta berbanding RM7.41 juta.
Segmen sistem pengedaran kuasa kekal sebagai segmen utama penyumbang pendapatan, dengan RM102.1 juta atau 59.1% daripada jumlah pendapatan untuk 9MFY2024, sedikit berkurangan berbanding RM104.6 juta pada 9MFY2023.
Segmen sistem bangunan lain dan kerja-kerja pula mencatatkan penurunan dalam pendapatan kepada RM27.3 juta berbanding RM47.7 juta, manakala segmen perdagangan produk elektrik, yang menyumbang lebih kecil, menunjukkan peningkatan pendapatan kepada RM900,000 berbanding RM400,000.
Pengarah Urusan HE Group, Haw Chee Seng berkata, prestasi pada 9MFY24 didorong oleh pesanan baharu yang diterima sepanjang tempoh tersebut, bernilai kira-kira RM94.3 juta.
"Sehingga 31 Oktober 2024, buku pesanan kami bernilai RM114.2 juta.
"Walaupun kami kekal peka terhadap keadaan pasaran, buku tender yang kukuh dan peningkatan aktiviti pasaran memberi kedudukan yang baik untuk pertumbuhan berterusan," katanya.
Beliau menambah, kumpulan sedang berusaha untuk memperoleh kontrak baharu dengan memanfaatkan ekonomi Malaysia yang semakin mengukuh.
Harga saham HE Group ditutup naik 1.5 sen atau 2.78% pada 56 sen pada Isnin, memberikan nilai syarikat sebanyak RM244.2 juta.
Harga saham tersebut meningkat dua kali ganda berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 28 sen. - DagangNews.com