Usaha sama Yinson di Vietnam terima kontrak bernilai RM1.8 bilion daripada Murphy Oil | DagangNews Skip to main content

Usaha sama Yinson di Vietnam terima kontrak bernilai RM1.8 bilion daripada Murphy Oil

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 2 Dis – PTSC Asia Pacific (PTSC AP), sebuah usaha sama antara Yinson Production yang memegang 49% saham dan PetroVietnam Technical Services Corporation (PTSC) dengan 51% pegangan, menandatangani kontrak untuk penyediaan, penyewaan, operasi dan penyelenggaraan kapal penyimpanan dan pemindahan apungan (FSO) untuk projek Lac Da Vang.

 

Kontrak daripada Murphy Cuu Long Bac Oil Co. Ltd., anak syarikat sepenuhnya Murphy Oil Corporation bernilai RM1.8 bilion itu, mempunyai tempoh tetap selama 10 tahun dengan pilihan untuk lanjutan sehingga lima tahun.

 

FSO tersebut akan dibina sebagai kapal dua hull yang baharu dengan kapasiti penyimpanan sekitar 500,000 tong dan sistem bahan bakar dual yang maju untuk kecekapan yang optimum.

 

Reka bentuknya memberi tumpuan kepada keselamatan, kecemerlangan operasi dan pengurangan pembebasan karbon, sejajar dengan matlamat kelestarian Yinson Production. 

 

Selepas tempoh pembinaan kira-kira dua tahun, FSO dijangka memulakan operasi di ladang Lac Da Vang yang terletak di Blok 15-1/05 di luar pantai Vietnam pada suku keempat 2026.

 

Projek itu akan mengukuhkan lagi kedudukan Yinson Production sebagai pemilik dan pengendali aset luar pesisir yang utama dan menandakan satu lagi pencapaian penting dalam hubungan jangka panjang Yinson Production dengan PTSC. 

 

Melalui PTSC AP dan usaha sama lain, Yinson Production dan PTSC telah berjaya mengendalikan aset luar pesisir di Vietnam selama lebih sedekad, dengan FSO PTSC Bien Dong 01 beroperasi sejak 2013 dan FPSO PTSC Lam Son beroperasi sejak 2014.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Production, Flemming Gronnegaard berkata, projek baharu itu menekankan komitmennya untuk menyediakan penyelesaian tenaga yang memenuhi keperluan pelanggan dan industri yang semakin berkembang. 

 

"Projek Lac Da Vang FSO ini adalah bukti kekuatan kerjasama kami dengan PTSC dan visi bersama kami untuk kecemerlangan operasi. Kami bangga dapat memainkan peranan penting dalam menyokong keselamatan tenaga Vietnam," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com