IPOH 20 Jan - Sebanyak 12 program pameran perdagangan antarabangsa serta jualan dalam dan luar negara telah disertai usahawan Perak sepanjang tahun lalu bagi memperluaskan pasaran produk.
Ia melibatkan penyertaan 194 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pelbagai jenis perniagaan dan perkhidmatan.
Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Mohamad Rozlan Mohamad Razali berkata, penyertaan ini berjaya mencapai jualan tunai sebanyak RM2.02 juta.
Menurut beliau, RM19.78 juta jumlah kontrak dan jualan potensi pula berjaya direkodkan oleh semua usahawan terlibat
“Inisiatif ini dijayakan dengan sokongan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) manakala STeP selaku penyelaras kepada para usahawan.
“Pelbagai agensi dan pihak yang bekerjasama seperti MATRADE, FAMA, MARA, NCER, Perak SADC termasuk kerajaan negeri Selangor, Melaka dan China.
“Ini antara pencapaian yang dicapai STeP pada 2024 menerusi program Teras Pertama iaitu perluasan pasaran produk dan perkhidmatan PMKS,” ujarnya kepada Dagang News.
Antara program perdagangan yang disertai seperti Malaysia Feat 2024 di Singapura, China-ASEAN Expo (Nanning, China), Jom Explore Market (Australia), Malaysia International Halal Showcase dan Selangor International Business Summit 2024.
Sementara itu, bagi Teras Kedua iaitu program kerjasama strategik tahun 2024 pula menyaksikan 8 program dijalankan STeP bersama pelbagai kementerian dan agensi keusahawanan persekutuan serta negeri.
Agensi terlibat seperti FAMA, SKMM, JPN Perak, UiTM Tapah, Perak SADC, UPSI, MDEC termasuk stesen penyiaran Astro.
Jelas Mohamad Rozlan, program tersebut melibatkan1,502 usahawan PMKS Perak pelbagai jenis latar belakang industri dan tahap perniagaan.
Antaranya acara keusahawanan ini seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA), Program Kerjasama dan Pemadanan Usahawan Perak dan Program Jiwa SME 2024.
“Kira-kira RM2.02 juta jualan tunai berjaya dijana usahawan negeri Perak melalui penglibatan dalam program ini.
“Sebanyak RM294,000 jumlah kontrak dan jualan potensi berjaya direkodkan oleh semua usahawan terlibat,” ujarnya. - DagangNews.com