Westports diyakini catat pertumbuhan satu digit bagi jumlah daya pengeluaran pada 2025 - CIMB Securities | DagangNews Skip to main content

Westports diyakini catat pertumbuhan satu digit bagi jumlah daya pengeluaran pada 2025 - CIMB Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Jan - Westports Holdings Bhd diyakini mencatatkan pertumbuhan satu digit rendah dari segi jumlah daya pengeluaran pada 2025, kata CIMB Securities.

 

Katanya, ia didorong pemulihan dalam pemindahan kapal apabila kesesakan berkurangan dan jumlah menjadi stabil berikutan penghentian berperingkat Zim Integrated Shipping Services Ltd pada 2024

 

Bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2024 (9MFY24), Westports mencatatkan pertumbuhan hasil tahun ke tahun sebanyak 7%, didorong jumlah pemprosesan yang lebih tinggi daripada kontena pintu masuk dan segmen konvensional.

 

Jumlah kontena pintu masuk merangkumi 45% daripada unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) 9MFY24 Westports – meningkat daripada 41% pada 9MFY23.

 

Bagaimanapun, ini telah diimbangi sebahagiannya dengan penurunan 5% dalam jumlah pemindahan kapal disebabkan isu kesesakan pelabuhan dan pematuhan kepada keperluan kawal selia, kata firma penyelidikan itu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jumlah kargo pintu masuk dijangka kekal kukuh, disokong oleh prospek ekonomi yang positif dan prestasi perdagangan yang teguh. Walau bagaimanapun, pertumbuhan mungkin dikekang oleh had kapasiti sedia ada sedikit sebanyak.

 

Sementara itu, pembersihan tanah untuk pembesaran terminal kontena Westport 2 (WP2) sedang dijalankan, dengan terminal pertama CT 10 dijadualkan mula beroperasi menjelang suku ketiga 2028.

 

Dalam pada itu, kumpulan sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan pelan pelaburan semula dividen bagi membiayai sebahagian pengembangan WP2.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu memperoleh program sukuk RM5 bilion untuk membiayai pengembangan WP2.

 

Menurut CIMB Securities, saham Westports didagangkan pada diskaun sedikit kepada purata harga kepada pendapatan sejarah.

 

Mengenai semakan tarif baharu, firma penyelidikan itu berkata, ia akan memacu pertumbuhan segera dalam hasil kontena Westports.

 

“Kami melihat potensi kenaikan tarif pelabuhan sebagai peningkatan pendapatan serta-merta untuk Westports, memandangkan ia akan segera meningkatkan hasil kontenanya.

 

"Jumlah pemprosesan pitu masuk Westports telah berkembang dengan stabil sejak dua tahun lalu, didorong oleh penukaran tinggi pelaburan asing kepada kargo kontena," kata firma penyelidikan itu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan stabil dalam jumlah kontena pintu masuk adalah positif bagi Westports, memandangkan ia menawarkan margin keuntungan yang lebih tinggi berbanding kontena pemindahan kapal. - DagangNews.com