Worldwide Stainless ambil alih Bahru Stainless dengan pertimbangan tunai AS$95 juta | DagangNews Skip to main content

Worldwide Stainless ambil alih Bahru Stainless dengan pertimbangan tunai AS$95 juta

(Kiri ke Kanan) Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Stainless, Danny Tan Wei Beoh dan Penasihat Am & Setiausaha Lembaga Acerinox S.A, Luis Gimeno
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Okt - Worldwide Stainless Sdn Bhd mengambil alih Bahru Stainless Sdn Bhd daripada peneraju keluli tahan karat, Acerinox S.A yang berpangkalan di Sepanyol, dengan pertimbangan tunai keseluruhan AS$95 juta.

 

Pengambilalihan itu memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia dalam industri keluli tahan karat global, dengan urus niaga dijangka selesai menjelang akhir November 2024.

 

Wordwide Stainless berkata, pengeluar keluli tahan karat di Malaysia, Bahru Stainless telah menghentikan operasinya pada Mei 2024. 

 

Di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Stainless, Danny Tan Wei Beoh, beliau memulakan semula operasi dan mengambil semula hampir 90% daripada tenaga kerja Bahru Stainless yang diberhentikan bagi mengembalikan kepakaran yang telah membina reputasi kukuh kilang tersebut. 

 

"Selepas pengambilalihan ini, Bahru Stainless akan terus beroperasi di bawah nama yang sama," katanya dalam kenyataan, hari ini. 

 

Mengulas mengenai kepentingan pengambilalihan itu, Wei Beoh berkata, langkah tersebut merupakan komitmen syarikat terhadap masa depan industri keluli tahan karat Malaysia. 

 

"Kami bertekad untuk menghidupkan semula Bahru Stainless, memanfaatkan potensi yang belum diterokai dan mengembalikan Malaysia sebagai pemain utama dalam bekalan keluli tahan karat di peringkat global. 

 

"Rancangan kami untuk mengambil semula hampir 90% pekerja terdahulu, mencerminkan keyakinan kami terhadap kepakaran tenaga kerja serta kejayaan operasi ini pada masa hadapan,” katanya. 

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekuif Acerinox S.A., Bernardo Velázquez, keputusan strategik itu menjaga kepentingan pekerja, pelanggan, dan komuniti setempat. 

 

"Bahru Stainless telah memainkan peranan penting dalam sejarah kumpulan kami dan kami yakin di bawah pemilikan Worldwide Stainless, ia akan terus berkembang dan menyumbang kepada industri," katanya. 

 

Wei Beoh juga berkata, pengambilalihan itu adalah detik penting bagi landskap industri keluli di Malaysia. Fokus kami adalah untuk memulihkan operasi Bahru Stainless dan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri keluli tahan karat global. 

 

"Dengan sokongan pemegang saham dan rakan kongsi, kami komited untuk mencapai visi ini dan mewujudkan nilai yang berkekalan untuk pasaran domestik dan global,” kata beliau. - DagangNews.com