KUALA LUMPUR 11 Nov - Penggantungan lesen unit pengangkutan kargo Xin Hwa Holdings Bhd iaitu Xin Hwa Trading & Transport Sdn Bhd (XHTT), selama tiga bulan boleh menyebabkan ia kehilangan sehingga 5% daripada pendapatannya bagi tahun ini.
Katanya, keadaan itu berlaku kerana kumpulan itu boleh kehilangan sehingga 20% daripada pendapatan bagi setiap bulan lesennya digantung.
Kumpulan itu mendedahkan perkara itu dalam maklum balasnya kepada pertanyaan tambahan daripada Bursa Malaysia Securities berikutan pengumuman penggantungan lesen pengendali pengangkutan kargonya pada 5 November 2024.
"Kerugian kumpulan dianggarkan kira-kira 21% (menjadi margin keuntungan kasar yang diambil daripada penyata kewangan teraudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024) daripada hasil yang terjejas," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Lesen unit pengangkutan kargo Xin Hwa Holdings digantung, jangka beri kesan buruk kepada operasi
Bagaimanapun, Xin Hwa berkata, kumpulan itu sedang mengambil tindakan segera bagi mengurangkan kerugian dengan mengatur kenderaan yang didaftarkan di bawah anak syarikat lain untuk memenuhi penghantaran segera XHTT dan penyumberan luar beberapa perkhidmatan kepada pengangkut pihak ketiga yang kompeten.
Kumpulan itu telah mengemukakan rayuan bertulis rasmi kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada 6 Nov 2024, dengan fakta sokongan bahawa isu pematuhan yang dibangkitkan sudah diselesaikan.
"Dalam rayuan itu, syarikat meminta penggantungan itu ditarik balik secepat mungkin bagi membolehkan operasi XHTT disambung semula," katanya dalam makluman kepada bursa.- DagangNews.com