Yayasan TM TVET Madani pupuk bakat digital dan profesional sedia kerja | DagangNews Skip to main content

Yayasan TM TVET Madani pupuk bakat digital dan profesional sedia kerja

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 19 Nov - Yayasan TM (YTM) melancarkan inisiatif Yayasan TM TVET Madani pada Isnin, satu kerjasama komprehensif bertujuan meningkatkan kebolehpasaran dan kemahiran para graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). 

 

Inisiatif itu membuktikan komitmen YTM dalam menyokong seruan kerajaan bagi pemain industri untuk memainkan peranan penting dalam meningkatkan kadar kebolehkerjaan dan menyumbang kepada transformasi digital negara.

 

YTM memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi memacu usaha kerjasama tersebut, dengan RM1.5 juta akan digunakan untuk menaja yuran pelajar TVET yang layak. 

 

Selain itu, sebanyak RM1.5 juta dilaburkan bagi menambah baik makmal rangkaian gentian optik dan digital di empat institusi utama, manakala RM500,000 lagi dibelanjakan untuk membangunkan modul baharu yang direka bagi merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan industri. 

 

Pengarah YTM, Ainol Shaharina Sahar berkata, pihaknya percaya masa depan Malaysia terletak di tangan golongan belia, dan pendidikan mereka adalah asas kepada kemajuan negara. 

 

"Inisiatif ini bukan hanya sekadar satu pelaburan dalam pendidikan dan bakat, tetapi juga contoh hasil yang boleh dicapai melalui kerjasama awam-swasta yang berkesan. 

 

"Kami bekerjasama rapat dengan kerajaan dan institusi-institusi pendidikan dalam mewujudkan peluang yang bukan sahaja menyelaraskan pembelajaran akademik dengan keperluan industri, tetapi juga memupuk bakat digital yang penting untuk pertumbuhan negara," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Tambah beliau, ia selaras dengan aspirasi TM untuk menjadi sebuah Digital Powerhouse menjelang 2030, memastikan para graduan dilengkapi dengan kemahiran dan minda inovasi untuk berjaya dalam ekonomi digital.

 

Majlis pelancaran yang diadakan di Politeknik Ungku Omar (PUO) di Perak itu, dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Dr. Zambry Abd Kadir. 

 

Beliau turut melawat makmal digital yang diperbaharui di PUO dan seterusnya merasmikan secara serentak tiga lagi makmal digital dan gentian optik di Politeknik Sultan Idris Shah (Selangor), Politeknik Mersing (Johor) dan Kolej Komuniti Ampang (Kuala Lumpur).

 

Ainol dalam pada itu berkata, YTM pada tahun ini menyambut ulang tahun ke-30 dan kecemerlangan pendidikan yang menjadi fokus sejak penubuhannya. 

 

"Kami menyokong agenda pendidikan digital Malaysia dan mengutamakan kesaksamaan pendidikan untuk semua. 

 

"Dengan memanfaatkan kerjasama sebegini, kami dapat mewujudkan impak yang lebih besar dalam komuniti dan memacu Malaysia ke hadapan dalam era digital. Ini sejajar dengan agenda global Matlamat Pembangunan Mampan PBB," ujarnya. 

 

Menyedari kepentingan peluang pekerjaan, YTM juga komited memudahkan penempatan pekerjaan bagi sehingga 400 graduan TVET setiap tahun.

 

Kurikulum TVET yang diperkasakan menawarkan pelbagai pensijilan industri termasuk keselamatan siber (CompTIA Security+), pengujian perisian (ISTQB Certified Tester Foundation Level) dan pengkomputeran awan (Cloud Alpha Edge) melalui Makmal Digital. 

 

Manakala di bawah pensijilan Makmal Gentian Optik, pelajar akan menerima latihan dalam CA-1C (Rangkaian Gentian Optik Dalaman), CA-2C (Rangkaian Gentian Optik Luaran) dan kecekapan tiang (pole proficiency). 

 

Dengan melengkapkan graduan TVET bersama kemahiran dan peluang yang diperlukan untuk berjaya dalam ekonomi digital, YTM memainkan peranan penting dalam membentuk tenaga kerja mahir masa depan yang akan memacu negara yang lebih digital. - DagangNews.com