KUALA LUMPUR 14 Nov - Dalam usaha untuk meningkatkan akses dan pemilikan insurans serta takaful dalam kalangan penunggang motosikal di Malaysia, Zurich Malaysia (Zurich) memperluaskan kerjasamanya dengan SeaMoney Capital untuk menawarkan Insurans Z-Rider dan Takaful Z-Rider yang komprehensif ke Shopee, platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara.
Tawaran baharu itu menjadikan Zurich rakan kongsi digital pertama yang menawarkan insurans motosikal digital dan takaful di platform Shopee, serta memperluaskan portfolio tawaran insurans dan takaful yang terdapat pada platform e-dagang tersebut.
Dengan lebih daripada 16 juta motosikal berdaftar, sebahagian besar rakyat Malaysia bergantung pada motosikal sebagai sebahagian daripada tugas harian, pengangkutan dan cara kerja utama mereka, terutamanya bagi yang terlibat dalam ekonomi gig.
Dalam usaha untuk menjadikan insurans dan takaful motosikal lebih mudah diakses dan mampu milik, kerjasama berkenaan membolehkan pengguna mengakses pelan motosikal menyeluruh Zurich melalui platform Shopee.
Kerjasama terbabit turut mengukuhkan strategi digital Zurich di bawah inisiatif Zurich Edge untuk menawarkan rangkaian tawaran digital hujung ke hujung yang lancar melalui rakan kongsinya.
Ketua SeaMoney, Alain Yee berkata, sebagai sebahagian daripada industri e-dagang, sebahagian besar tenaga kerjanya bergantung kepada penggunaan motosikal dalam kehidupan seharian.
"Dengan itu, kami percaya bahawa kepentingan yang sama perlu diletakkan pada kemudahan akses dan harga mampu milik insurans bagi memastikan penunggang motosikal dilindungi," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Negara/Ketua Zurich Malaysia, Junior Cho pula berkata, pihaknya mahu memastikan rakyat Malaysia mempunyai akses mudah dan mampu milik kepada perlindungan menyeluruh.
"Kerjasama kami bersama SeaMoney dan Shopee membolehkan kami melindungi lebih ramai penunggang motosikal, menawarkan mereka cara yang mudah dan selamat untuk membeli pelan perlindungan Insurans Z-Rider dan Takaful Z-Rider kami.
"Tawaran baharu ini, yang dibangunkan sebagai sebahagian daripada strategi Zurich Edge, membuktikan kemajuan dan kejayaan berterusan kami dalam mengutamakan pengalaman digital," ujarnya.
Tersedia di aplikasi Shopee, pembelian Insurans/Takaful Z-Rider boleh diselesaikan dalam masa kurang dari tiga minit.
Insurans Z-Rider dan Takaful Z-Rider Zurich bertujuan menyediakan perlindungan menyeluruh untuk penunggang motosikal yang turut menawarkan manfaat percuma seperti penggantian topi keledar, elaun peril khas terhad, peningkatan had untuk kos tunda kemalangan, kos tunda kerosakan/kecemasan dan perlindungan kemalangan diri. - DagangNews.com