Terlalu banyak rancangan dan polisi di Malaysia tetapi tiada pelan pelaksanaan berkesan - Pakar Ekonomi Bank Dunia | DagangNews Skip to main content

Terlalu banyak rancangan dan polisi di Malaysia tetapi tiada pelan pelaksanaan berkesan - Pakar Ekonomi Bank Dunia

Pakar Ekonomi Bank Dunia Malaysia, Apurva Sanghi
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Nov - Malaysia memiliki terlalu banyak perancangan dan polisi yang kelihatan menarik tetapi tidak mempunyai pelan pelaksanaan yang berkesan.

 

Pakar Ekonomi Bank Dunia di Malaysia, Apurva Sanghi berkata, sebagai contoh, pelaksanaan program bantuan sosial di negara ini telah dipecahkan kepada beberapa agensi dan terdapat terlalu banyak program yang hampir sama tetapi dikendalikan oleh agensi berbeza.

 

Katanya, terdapat sehingga 17 agensi mentadibir 170 isu bantuan sosial dengan 70 agensi menyediakan program latihan kemahiran dan 35 agensi lagi menyediakan program sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

"Pecahan seperti ini akan menghalang kepada pelaksanaan polisi yang berkesan.

 

"Sebelum ini, semasa zaman COVID-19, terdapat lebih daripada 180 SOP yang diperkenalkan, lain tempat lain kaedah tetapi akhirnya disatukan di bawah MySejatera. 

 

"Malaysia mempunyai terlalu banyak rancangan dan dasar. Sebenarnya bahagian pelaksanaan yang perlu diberi tumpuan," katanya dalam podcast Keluar Sekejap.

 

Beliau berkata, pecahan agensi serta bantuan seperti ini dilihat akan menjadi penghalang kepada pelaksanaan dasar utama.

 

Katanya, perkara ini membuatkan orang ramai yang ingin mendapatkan bantuan akan berputus asa kerana tidak tahu ke mana hendak dituju kerana tidak pasti agensi khusus yang mengendalikannya.

 

Mengulas mengenai isu gaji di negara ini, Apurva mendedahkan bahawa rakyat di negara ini menerima gaji yang lebih tinggi berbanding produktiviti.

 

Beliau berkata, gaji di Malaysia meskipun antara yang terendah di Asia Tenggara sekiranya dibanding dengan Singapura, Thailand, Kemboja dan Vietnam tetapi perkara itu perlu dibanding dari segi produktiviti.

 

"Kadar kenaikan gaji di Malaysia adalah pada paras 12% tetapi masih lagi tinggi jika dibandingkan dengan Indonesia dan Filipina," katanya.

 

Beliau juga berkata, kadar produktiviti yang rendah di Malaysia adalah disebabkan jumlah pelaburan yang rendah, sistem pendidikan yang lemah dan beberapa faktor lain.

 

Katanya, kadar kemiskinan pembelajaran di negara ini adalah pada 40%, lebih tinggi daripada kebanyakan negara di rantau ini.

 

"Jika rakyat tidak mendapat persekolahan dengan betul, terutamanya pada peringkat awal sekolah rendah dan prasekolah, anda tidak akan mendapat produktiviti yang baik untuk menyumbang kepada hasil negara," katanya. - DagangNews.com