Terma perdagangan Malaysia meningkat 0.6% pada Mac 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Terma perdagangan Malaysia meningkat 0.6% pada Mac 2023 - DOSM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 April - Terma perdagangan Malaysia meningkat 0.6% bulan ke bulan kepada 110.3 mata pada Mac 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu didorong kenaikan indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (1%), bahan kimia (0.8%) dan makanan (0.6%).

 

Bagaimanapun katanya, terma perdagangan Malaysia menyusut 1.9% tahun ke tahun daripada 112.4 mata pada Mac 2022.

 

Beliau berkata, harga eksport negara pada Mac 2023 merekodkan peningkatan 1% daripada 141.4 mata pada bulan sebelumnya kepada 142.6 mata.

 

"Ia disumbangkan oleh peningkatan indeks minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (3.2%), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (1.5%) dan pelbagai barang keluaran kilang (0.8%).

 

"Selain itu, indeks volum eksport meningkat 14.4% pada bulan yang sama, selaras dengan kenaikan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (31.7%), pelbagai barang keluaran kilang (23.8%) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (14.3%)," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, indeks volum eksport pelarasan bermusim menurun 1.4% daripada 167.4 mata kepada 165.2 mata.

 

 

dosm

 

 

"Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit eksport kekal positif 0.7% manakala indeks volum menurun 2.1%," katanya.

 

Menurutnya, indeks nilai seunit import kekal bertumbuh pada Mac 2023 dengan 0.4%, disumbangkan kenaikan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (3%), makanan (0.5%) dan alat jentera serta kelengkapan pengangkutan (0.49%).

 

Katanya, indeks volum import menunjukkan trend positif 10.7% pada Mac 2023 berbanding bulan sebelum, disumbangkan peningkatan indeks pelbagai barang keluaran kilang (27.5%), barang-barang keluaran kilang (25.9%) dan alat jentera serta kelengkapan pengangkutan (16.5%).

 

"Indeks volum import pelarasan bermusim menyusut 4.3% daripada 183.6 mata kepada 175.7 mata," katanya.

 

Tambahnya, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import kekal positif 2.6% manakala indeks volum merosot 4.2%. - DagangNews.com