oleh DR. AZRI BHARI
KEJADIAN bencana seperti banjir lumpur yang telah berlaku di Yan, Kedah pada Julai lalu, serta musibah kehilangan sumber pendapatan sebahagian masyarakat akibat kesan pandemik COVID-19 dan sebagainya menggambarkan senario masyarakat terkesan dan memerlukan bantuan.
Pada masa yang sama masyarakat di Malaysia dilihat aktif melakukan aktiviti kebajikan kerana semangat kesukarelawanan dan nilai kemanusiaan yang tinggi. Lazimnya kesukarelawanan dikaitkan dengan aktiviti kebajikan yang dijalankan untuk membantu golongan yang memerlukan.
Bantuan dan khidmat sokongan yang boleh dihulurkan sangat luas dan pelbagai antaranya ialah disebabkan faktor bencana, kesihatan, kebajikan, sosioekonomi, pembangunan komuniti, perpaduan, pendidikan, pertanian, alam sekitar, dan sebagainya.
Misi kesukarelawanan ini boleh dijayakan dengan penyertaan semua lapisan masyarakat terutama golongan muda tanpa mengira latar belakang, agama dan bangsa melalui pelbagai saluran secara individu, agensi, institusi dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan untuk membantu golongan yang memerlukan.
Perkataan sukarela bermaksud kehendak sendiri, tidak dipaksa-paksa, tidak dikerah dan dengan rela hati. Sukarelawan pula adalah individu atau satu kumpulan yang bersedia menghulur tenaga tanpa mengira bentuk bantuan dalam apa juga usaha kemanusiaan, kerja kemasyarakatan atau khidmat sukarela.
Islam sangat memandang mulia dan menganjurkan seluruh masyarakat Islam memupuk semangat kesukarelawanan dan nilai kemanusiaan dalam membantu golongan yang terkesan dan memerlukan.
Nabi SAW menggalakkan melakukan amalan kebajikan dan kesukarelawanan melalui hadis yang bermaksud “Perkara yang paling disukai Allah ialah orang yang paling bermanfaat kepada manusia lain. Tingkahlaku yang paling disukai ialah yang menggembirakan orang lain atau meringankan bebanannya atau melangsaikan hutangnya atau menyelamatkannya dari kelaparan” (Hadis hasan riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath: no.6026).
Seterusnya Nabi SAW juga telah memperincikan maksud sedekah dalam konteks kebajikan dan kesukarelawanan melalui hadis yang bermaksud “Sedekah itu wajib atas setiap orang Islam.
Seorang sahabat bertanya: jika tiada apa yang hendak diberi? Jawab Baginda: hendaklah dia bekerja dan bila dapat duit, sedekahkanlah sebahagiannya.
Sahabat itu bertanya lagi: jika tidak boleh bekerja? Jawab Baginda: tolonglah orang miskin yang dalam kesusahan.
Kalau ini juga tidak dapat dilakukan? tanya sahabat itu lagi: Baginda menjawab: beri nasihat untuk berbuat baik.
Sahabat itu bertanya: jika itupun tidak dapat dilakukan? Jawab Baginda: janganlah ia melukakan hati orang lain, itulah sedekahnya” (Hadis Riwayat al-Bukhari: no.6022).
Hadis tersebut menjelaskan bahawa sedekah atau amalan kebajikan dan kesukarelawanan itu tidak terhad kepada memberi wang semata-mata tetapi juga membantu orang yang dalam kesusahan, memberi nasihat untuk kebaikan dan tidak melukakan hati orang lain.
Selain itu, ketiadaan wang bukanlah alasan untuk tidak bersedekah. Malah, Nabi SAW menuntut agar berusaha untuk mencari kerja agar sebahagian dari hasilnya dapat didermakan. Malah, terdapat dalam hadis yang lain Nabi SAW menyatakan bahawa senyum itu juga merupakan satu sedekah.
Islam amat menganjurkan dan menggalakkan seluruh umat Islam untuk berusaha saling menjaga kebajikan ahli masyarakat yang merangkumi seluruh aspek kehidupan seperti yang telah dijelaskan dalam al-Quran dan hadis.
Pertama, saling memberi khidmat dalam memenuhi keperluan fizikal. Allah SWT telah merakamkan contoh teladan yang terbaik tersebut melalui kisah orang Ansar yang telah memberi khidmat menyediakan tempat kediaman kepada golongan Muhajirin.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya, orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman serta pertolongan (kepada orang yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu sama lain… dan jika mereka meminta pertolongan dari kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya…” (Surah al-Anfal: 72).
Kedua, saling menolong dalam memenuhi keperluan material dan kewangan. Ini termasuk dalam konteks bantuan kewangan dan material dalam memenuhi keperluan harian seperti makan, minum, pakaian dan sebagainya kepada golongan yang memerlukan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing, pemberian yang demikian adalah baik bagi orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah, dan mereka itulah orang yang berjaya” (Surah ar-Rum: 38).
Ketiga, saling membantu memenuhi keperluan spiritual. Keperluan spiritual ialah membantu ahli masyarakat untuk memiliki ilmu keagamaan dan kerohanian serta mengamalkannya. Dalam kata lain, termasuk di dalam konsep kebajikan ini ialah menyampaikan ilmu keagamaan serta amar maaruf nahi mungkar.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan…” (Surah al-Taubah: 71)
Demikianlah anjuran dan galakkan Islam dalam melakukan amalan kebajikan dan kesukarelawanan untuk membantu sesama insan. Terdapat tiga ruang yang terbuka luas untuk masyarakat Islam untuk saling melakukan kebajikan dan membantu orang lain sama ada memberi bantuan kewangan atau material, khidmat bakti kepada golongan yang memerlukan dan bantuan spiritual dengan memberi bimbingan agama serta mengajak kepada kebaikan dan menegah dari melakukan kejahatan.
Dalam situasi getir negara yang masih berhadapan impak penularan pandemik Covid-19, pendekatan Keluarga Malaysia bertepatan dalam konteks kesejahteraan negara dan rakyat apabila menawarkan nilai murni dalam institusi kekeluargaan seperti kesukarelawanan, kasih sayang, toleransi, empati serta pengorbanan. - DagangNews.com
DR. AZRI BHARI adalah Pakar Rujuk, Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor.