Tesla mungkin jadi pelanggan Genetec? | DagangNews Skip to main content

Tesla mungkin jadi pelanggan Genetec?

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Genetec Technology Bhd. dijangka mendapat kelebihan daripada pelan pengembangan pengeluar kenderaan elektrik (EV) global sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat teknologi itu dalam pasaran antarabangsa

 

CGS-CIMB yang baru memulakan liputan ke atas Genetec melihat permintaan global yang tinggi bagi EV mendorong kepada permintaan bagi penyelesaian automasi untuk pengeluaran sel bateri.

 

Dalam hal ini, firma itu berpendapat, Tesla berkemungkinan mempunyai potensi menjadi pelanggan kepada Genetec berdasarkan kepakarannya dalam menyediakan penyelesaian pemasangan. 

 

Tambahan pula, katanya, Tesla merupakan pengeluar EV terbesar dunia dan juga pasaran Amerika Syarikat (AS).

 

Pada masa sama, AS menyumbang 30% kepada pendapatan Genetec bagi tahun kewangan 2021 berbanding hanya 1% pada 2020. 

 

"Jadi, tidak mustahil bagi Genetec untuk terlibat dalam menyediakan pemasangan dan pembentukan penyelesaian kepada Tesla. 

 

"Ini kerana pelan pengembangan Tesla memerlukan lebih banyak pemasangan dan kilang baharu bagi pengeluaran sel bateri EV, yang dilihat sejajar dengan prospek Genetec yang menjangkakan peningkatan permintaan daripada sektor EV," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Tesla merancang untuk membangunkan 20 juta EV setahun menjelang 2030 yang mana ia memerlukan pengeluaran sel bateri sehingga 3 terrawatt per jam (TWh) berbanding 100 GWh pada 2022. 

 

Genetec secara dasarnya, adalah syarikat teknologi tempatan yang terlibat dalam pembangunan sistem automasi dan ditubuhkan sejak 1997.

 

Walaupun produknya merangkumi pelbagai sektor, tetapi ia mengkhusus kepada sektor automotif dengan memiliki pengalaman lebih 15 tahun. 
 

 

Sejak menyertai pasaran EV pada 2014, ia telah merancang dan membangunkan penyelesaian automasi kilang (FAS) khusus untuk EV mulai 2018.

 

"Kami berpendapat, Genetec mempunyai kedudukan kukuh untuk meraih manfaat daripada permintaan EV yang semakin berkembang dan juga penyelesaian simpanan tenaga (ES) melalui pelanggan utamanya dalam sektor ini. 

 

"Malah, berdasarkan semakan kami juga percaya Genetec mempunyai pengkhususan dalam menyediakan penyelesaian bagi proses pengeluaran bateri hiliran. 

 

"Daripada RM205 juta tempahan yang diumumkan sejak Februari lalu hingga kini, 70% daripada adalah daripada segmen bateri dan EV," tambahnya. 

 

Berdasarkan kedudukannya yang kukuh, CGS-CIMB menjangkakan Genetec akan merekodkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) bagi pendapatan sesaham (EPS) selama 3 tahun sebanyak 235%. 

 

Katanya, ini akan didorong oleh lebih banyak tempahan daripada pelanggan EV dan kontrak yang diperoleh menerusi pelanggan automotif sedia ada termasuk EV dan bukan EV serta skala ekonomi yang lebih tinggi.

 

Firma itu memulakan liputan ke atas Genetec dengan saranan 'tambah' dan harga sasaran pada RM50. 

 

"Kami percaya Genetec akan dinilai semula berdasarkan jangkaan pendapatan yang kukuh dan pegangan dana institusi yang semakin meningkat (13% setakat akhir Ogos). 

 

"Bagaimanapun, risiko penurunan bagi penarafan ini bergantung kepada pembatalan tempahan utama, kehilangan Tesla sebagai pelanggan (jika anggaran kami betul) dan pelan pertumbuhan pelanggan yang perlahan," jelasnya. 

 

Setakat 11.24 pagi ini, Genetec masih mengungguli dagangan kaunter untung dengan harga sahamnya menokok RM3.16 atau 8.81% dengan 426,900 saham diniagakan. - DagangNews.com