Texchem dijangka lebih kukuh pada suku keempat didorong peningkatan bahagian restoran – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Texchem dijangka lebih kukuh pada suku keempat didorong peningkatan bahagian restoran – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Okt - Texchem Resources Bhd dijangka lebih kukuh pada suku keempat, dengan mengambil kira jangkaan peningkatan bermusim untuk bahagian restoran semasa musim perayaan akhir tahun.

 

Di samping itu, aliran dolar Amerika Syarikat yang lebih kukuh dijangka meningkatkan prestasi bahagian makanan dan kejuruteraan polimer, kata RHB Investment dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata pengurusan kumpulan itu percaya jumlah dalam bahagian perindustrian mungkin telah di tahap terendah dan akan meningkat semula kerana pelanggan kehabisan inventori dan harga bahan kimia stabil.

 

Keadaan pasaran yang bertambah baik dan kemenangan kontrak/perniagaan baharu juga dapat mendorong pemulihan volum yang stabil untuk bahagian kejuruteraan polimer pada masa akan datang.

 

“Secara keseluruhannya, kami menantikan FY24 yang menguntungkan untuk Texchem selepas mengambil kira faktor-faktor yang dinyatakan di atas,” katanya mengulas tentang prospek syarikat.

 

RHB Investment berkata kerugian Texchem dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) sebanyak RM7.1 juta adalah di bawah jangkaan firma.

 

“Kekecewaan datang berikutan pendapatan dan margin lebih lemah daripada jangkaan, dan kadar cukai berkesan yang tinggi – disebabkan ketiadaan pelepasan cukai daripada kerugian yang ditanggung oleh anak syarikat tertentu dan kekurangan peruntukan dari tempoh sebelumnya,” jelasnya.

 

Firma itu mengunjurkan kumpulan tersebut kerugian RM7.6 juta untuk tahun kewangan 2023 (FY23) berbanding unjuran keuntungan RM5 juta sebelum ini, di samping unjuran pendapatan bagi FY23-25 dikurangkan sebanyak 28% hingga 39% memandangkan pemulihan yang tidak konsisten mengambil masa lebih lama daripada jangkaan.

 

Oleh itu, firma tersebut mengekalkan saranan ‘beli’ dengan menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM1.50 daripada RM2.23 (selepas menggunakan diskaun konglomerat 20% dan premium alam sekitar, sosial dan tadbir urus [ESG] 4%), membayangkan gabungan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY24 sebanyak 13.9 kali.

 

Firma itu berkata saranan ‘beli’ itu dikekalkan kerana harga saham turun mendadak kepada penilaian tertekan yang menawarkan peluang belian kepada pelbagai konglomerat mini dengan kunci kira-kira dan penjanaan aliran tunai yang kukuh.

 

Pada pukul 11:22 pagi ini, saham Texchem susut 0.5 sen atau 0.6% kepada 81 sen dengan permodalan pasaran bernilai RM102.4 juta. - DagangNews.com