Texchem kekal berhati-hati dengan prospek perniagaan akibat keadaan pasaran tidak menentu | DagangNews Skip to main content

Texchem kekal berhati-hati dengan prospek perniagaan akibat keadaan pasaran tidak menentu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Mei - Texchem Resources Berhad kekal berhati-hati dengan prospek kumpulan itu selepas mengambil kira keadaan pasaran yang tidak menentu.

 

Pengerusi Ekseutif Techem, Tan Sri Dr. Fumihiko Konishi berkata, pihaknya bagaimanapun melihat masih ada peluang untuk meneruskan pertumbuhan dalam semua segmen utama bagi mengembangkan lagi perniagaan kumpulan. 

 

Secara keseluruhannya, pihaknya teruja dengan rancangan strategik yang dimiliki kumpulan bagi meneruskan perkembangan jangka masa panjang.

 

Beliau berkata, FY22 merupakan tahun yang mencabar tetapi kumpulan itu berjaya mengharungi landskap perniagaan yang mencabar dan menghasilkan keputusan yang positif.

 

"Ini adalah hasil usaha keras yang dibina daripada seluruh segmen perniagaan teras kami ditambah dengan dedikasi keseluruhan pasukan di Texchem.

 

"Kami memiliki pelbagai perniagaan dan aliran hasil yang memberikan kelebihan untuk mengharungi kitaran perniagaan selain menghadapi sebarnag kemungkinan," katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-49 kumpulan itu, hari ini.

 

Fokus Texchem untuk bahagian perindustriannya akan kekal kepada transformasi menjadi pengedar kimia khusus dengan berkembang ke segmen produk margin yang lebih tinggi.

 

Bagi bahagian kejuruteraan polimer, ia akan mengembangkan perniagaan perubatan/sains hayatnya manakala bahagian makanan akan fokus kepada pengembangan portfolio produk nilai tambahnya untuk mengurangkan kelembapan akibat sentimen pengguna yang lebih lemah.

 

Bahagian restorannya, kumpulan itu memacu kecekapan kos dan akan terus memanfaatkan asas keahlian Sushi King yang kukuh iaitu lebih daripada 1 juta untuk merangsang jualan.

 

Untuk FY22, Texchem mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak 13.0 sen sesaham, berjumlah RM15.4 juta mewakili dividen sebanyak 49% berdasarkan keuntungan bersih larasan FY22 yang boleh diagihkan kepada pemegang saham sebanyak RM31.3 juta. - DagangNews.com