KUALA LUMPUR 8 Nov - Lembaga Tabung Haji (TH) mengharapkan Malaysia diberikan kuota penuh seramai 31,600 orang jemaah haji pada musim hadapan.
Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, musim haji 1443H tahun ini, Malaysia hanya diberikan kuota seramai 14,306 orang sahaja oleh kerajaan Arab Saudi.
Jumlah tersebut adalah 45% daripada kuota tahunan yang biasa diterima Malaysia pada musim haji terdahulu.
“Bilangan jemaah haji untuk musim haji 1444H diharapkan akan mendapat kuota penuh seramai 31,600 orang berbanding hanya 14,306 orang sahaja pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, TH juga menganjurkan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan (MHPK) kali ke-39 untuk membincangkan isu berkaitan bimbingan serta hukum-hakam ibadat haji yang timbul semasa musim haji 1443H lalu.
Muzakarah Haji yang bertemakan ‘Akidah Sejahtera Asas Kemabruran Haji’ akan berlangsung selama tiga hari bermula 7 hingga 9 November 2022.
Azman berkata, MHPK kali ini bertujuan mencari penyelesaian terbaik berkaitan ibadat haji, umrah dan ziarah selain memberi peluang kepada Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (Pekta) dan ilmuan agama berkongsi ilmu serta pengalaman menetapkan keseragaman hukum-hakam.
“MHPK dapat meningkatkan lagi keberkesanan bimbingan ibadat haji kepada bakal-bakal haji termasuk menambahbaik modul kursus haji serta penerbitan dihasilkan demi kepentingan umat Islam Malaysia semasa melaksanakan ibadat di tanah suci.
“Semua resolusi yang akan dihasilkan daripada Muzakarah ini diharap akan benar-benar difahami oleh para Pekta dan disampaikan kepada semua bakal haji dengan sejelas- jelasnya semasa kursus-kursus haji,” katanya.
Beliau berkata, MHPK ke-39 ini juga akan dapat menyelaraskan kefahaman bersama ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji bagi persediaan untuk penyampaian lebih berkesan kepada bakal-bakal haji dan umat Islam negara tentang konsep, pengertian istito’ah secara mudah dan berterusan,” ujarnya.
Sementara itu, Azman berkata, sesi Penilaian Prestasi Operasi Haji 1443H (Post-Mortem) dan Kelas Intensif Tafaqquh Haji dan Umrah bagi Pekta juga telah dijalankan di seluruh negara pada bulan Oktober lalu.
“Kursus Asas Haji 1444H dijadualkan bermula pada 25 November 2022 secara bersemuka di 218 masjid terpilih selepas selesainya MPHK,” jelasnya.
Pada masa sama, tambahnya, TH sedang merancang untuk menganjurkan Kursus Intensif Haji pada Februari 2023 dan seterusnya Kursus Perdana Haji dalam bulan Syawal sebelum bakal haji berangkat ke Tanah Suci. - DagangNews.com