TH Heavy Engineering bukan anak syarikat Tabung Haji | DagangNews Skip to main content

TH Heavy Engineering bukan anak syarikat Tabung Haji

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 3 Sept - Lembaga Tabung Haji menjelaskan TH Heavy Engineering Bhd. (THHE) bukan lagi merupakan anak syarikat mahupun syarikat bersekutu di bawah dana haji tersebut. 

 

Ini berikutan beberapa laporan media mengaitkan THHE dengan Tabung Haji, menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

 

Jelasnya, kepentingan Tabung Haji di dalam THHE telah diambil alih sepenuhnya pada 2018 oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) iaitu anak syarikat di bawah Kementerian Kewangan Malaysia.

 

"UJSB ialah sebuah syarikat pengurusan aset yang ditugaskan untuk menguruskan aset yang dipindahkan daripada Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan," katanya.

 

Tabung Haji berkata, pemindahan THHE dilakukan kerana prestasi syarikat yang lemah dan tidak memberi pulangan yang dijangka kepada Tabung Haji

 

"Tabung Haji kini berada di landasan yang baik dan terus berusaha untuk mengukuhkan kedudukan kewangan, tabdir urus dan operasinya seiring dengan pemulihan ekonomi negara," tambahnya. 

 

THHE yang berstatus Nota Amalan 17 (PN17) itu mencatat kerugian bersih sebanyak RM6.24 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 daripada kerugian bersih RM4.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Secara dasarnya, UJSB memiliki 64.45% pegangan dalam THHE, selepas ia membeli lebih daripada dana haji aset Tabung Haji yang uzur pada akhir 2018. 

 

UJSB membayar RM380.3 juta untuk blok 334.16 juta saham dalam THHE yang dipegang oleh Tabung Haji, berbanding nilai pasarannya RM10.02 juta. 

 

Dengan kata lain, UJSB membayar premium yang besar sebanyak 3,694.06% untuk kepentingan, dan juga RM315.45 juta untuk 1.1 bilion saham keutamaan yang mempunyai nilai RM16.46 juta. -DagangNews.com